EKONOMI

Malaysia Beri Penerangan Kepada China Mengenai Perjanjian ART Malaysia-AS - Tengku Zafrul

01/12/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Malaysia telah menghantar satu delegasi ke China untuk memberi penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata delegasi negara bertemu dengan pihak Kementerian Perdagangan China minggu lepas apabila negara itu menyatakan kebimbangan mengenai implikasi geopolitik ART, memandangkan Malaysia dan China merupakan rakan dagang strategik.

“Mereka menyatakan mereka perlu merekodkan perkara ini kerana (ini adalah) isu geopolitik. Mereka mahu memastikan apa-apa yang dipersetujui tidak membebankan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata perbincangan itu juga membawa kepada usaha China untuk merapatkan lagi kerjasama perdagangan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu, walaupun kedua-dua negara sudah mempunyai kerangka sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China.

Mengulas lanjut mengenai langkah Malaysia menandatangani ART lebih awal berbanding beberapa negara ASEAN lain, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS.

“Pagi tadi pun saya ada perbincangan dengan USTR (Wakil Perdagangan AS). Mereka mengatakan kita akan mendapat layanan terutama dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik) dan semikonduktor kerana kita merupakan rakan strategik dalam sektor ini," katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak berunding dengan AS mengenai ART dalam suasana yang selesa.

Rundingan di bawah bayangan tarif baharu sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan KDNK Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun iaitu hampir RM30 bilion setahun, katanya.

“Saya lebih rela dikritik kerana bergerak cepat untuk menyelamatkan kilang dan pekerjaan rakyat daripada dipuji kerana berani melawan membiarkan tarif 25 peratus jatuh tanpa sebarang payung,” katanya.

Tengku Zafrul turut menepis dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera. 

Beliau berkata Artikel 7.1 dalam Perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.

Perjanjian itu juga boleh ditamatkan dengan notis bertulis selepas 180 hari, seperti diperuntukkan dalam Artikel 7.5, kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan