KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Program Dwibahasa (DLP) di Sarawak akan diperluas ke sekolah menengah mulai 2026, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata dengan pelaksanaan itu, semua pelajar Tingkatan 1 akan memasuki aliran DLP dan meneruskannya sehingga Tingkatan 5.
“Di peringkat menengah atas, inisiatif ini akan melibatkan langkah penting apabila mata pelajaran sains tulen utama, iaitu Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata program itu terus menjadi antara strategi utama untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sarawak dengan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi membantu menyediakan pelajar supaya lebih kompetitif dan lebih bersedia menghadapi masa depan.
“Ini amat penting terutamanya ketika kita berusaha meningkatkan penyertaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan siswazah berkualiti dalam kalangan anak Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, program DLP Sarawak mewajibkan semua sekolah kebangsaan di Sarawak mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, termasuk Ujian Penilaian DLP (UP-DLP), iaitu satu penilaian untuk mengukur prestasi pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Dalam perkembangan lain, Sagah berkata Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dijangka siap pada Oktober tahun depan.
Beliau berkata pembinaan pusat penyelidikan perubatan yang terletak di Samarahan itu telah mencapai 40 peratus siap setakat ini dan dijangka menjadi pusat utama bagi pemantauan penyakit berjangkit serta inovasi bioperubatan sebaik ia beroperasi sepenuhnya.
“Fokus SIDC merangkumi beberapa penyakit penting yang menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan, seperti tuberkulosis (TB), malaria, denggi, demam babi Afrika (ASF), rabies dan jangkitan parasit melalui tanah,” katanya.
Mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), beliau berkata 64 kursus telah diluluskan di bawah skim berkenaan di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Curtin Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
“Senarai terperinci akan diumumkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Dis ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial