DUNIA

Ringgit Ditutup Mendatar Berbanding Dolar AS Menjelang Mesyuarat FOMC Minggu Depan

01/12/2025 07:21 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Ringgit ditutup mendatar berbanding dolar AS hari ini berikutan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Pada 6 petang, ringgit dicatatkan pada 4.1300/1365 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga turut memantau data ekonomi AS, terutamanya Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ISM AS bagi November yang akan dikeluarkan malam ini, untuk panduan mengenai hala tuju pasaran seterusnya.

“Anggaran konsensus adalah pada 49.0 mata berbanding 48.7 pada Oktober.

“Indeks ISM bagi sektor pembuatan berada di bawah paras 50 mata selama lapan bulan berturut-turut, menunjukkan pengeluar kekal pesimis untuk suatu tempoh,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.4644/4730 daripada 5.4528/4594 semasa ditutup pada Jumaat lepas, rendah berbanding euro kepada 4.7995/8070 daripada 4.7768/7825 sebelum ini dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.6594/6637 daripada 2.6420/6456.

Mata wang tempatan turut merosot berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1880/1932 daripada 3.1813/1857 sebelum ini dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 247.8/248.3 daripada 247.6/248.0.

Ringgit turut merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9026/9290 daripada 12.8245/8472 sebelum ini dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.05/7.07 daripada 7.04/7.06.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan