KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 5,790 permohonan untuk diiktiraf bumiputera Sarawak telah diterima Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak (JPBS), kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikie Tayai.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 5,186 permohonan telah diluluskan dengan 1,835 diiktiraf komuniti Iban, diikuti 1,718 (komuniti Bidayuh), 601 (Melayu), 336 (Melanau), 199 (komuniti Murut atau Lun Bawang), 146 (Kenyah), 144 (Kayan) dan selebihnya daripada komuniti lain.
“Mulai 1 Jan 2025, semua permohonan untuk diiktiraf sebagai bumiputera Sarawak dibuat sepenuhnya secara dalam talian, iaitu melalui Sistem Permohonan Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak (SARAS).
“Pada 26 Jun, sistem itu ditambah baik dengan menambah fungsi semakan kelayakan bagi memastikan hanya permohonan yang memenuhi syarat akan diproses dan dibawa ke JPBS untuk pertimbangan,” katanya pada sesi penggulungan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pada 15 Feb 2022, DUN Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Tafsiran (Pindaan), 2022 yang meminda Ordinan Tafsiran, 2005 [Cap. 61] bagi memasukkan anak-anak hasil daripada perkahwinan campur sebagai bumiputera, walaupun hanya ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.
Menyentuh mengenai perairan negeri, beliau berkata Pengawal Pantai Sarawak (SCG) terus meningkatkan keupayaan keselamatan maritim dengan melaksanakan 158 operasi sepanjang tahun ini dalam usaha melindungi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Sarawak.
Sikie berkata operasi berkenaan merangkumi penguatkuasaan undang-undang perairan termasuk Akta Perikanan Malaysia 1985, pemantauan aktiviti pencerobohan, serta memastikan keselamatan komuniti nelayan di sepanjang perairan negeri.
“SCG mengoperasikan 12 kapal pelbagai kelas bagi melaksanakan tugasan rondaan, penguatkuasaan dan operasi mencari serta menyelamat. Bagi memperkukuh usaha itu, tiga buah kapal tambahan kini dalam proses pemerolehan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial