DUNIA

ASEAN Mesti Kekal Jadi Penentu Hala Tuju Sendiri Dalam Merencana Masa Depan

01/12/2025 09:20 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- ASEAN mesti kekal sebagai penentu hala tuju sendiri dalam merencana masa depan, menurut para penganalisis, ketika blok itu semakin menegaskan peranannya di pentas global.

Mereka menyatakan bahawa Kepengerusian Malaysia 2025 telah mengukuhkan kredibiliti dan pengaruh ASEAN, selain memperkukuh prinsip kepusatan ASEAN, berkecuali dan tindakan kolektif blok itu.

Pendekatan diplomatik ASEAN yang seimbang dan tidak berpihak menempatkannya sebagai pemain utama dalam landskap global yang semakin berpecah, mengukuhkan lagi peranannya sebagai pemacu keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menandakan penutup tahun penting bagi Kepengerusian ASEAN Malaysia, dengan beberapa pencapaian bersejarah, termasuk kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok itu - pengembangan pertama dalam 26 tahun - satu kejayaan yang secara meluas dianggap melengkapkan perwakilan geografi rantau yang merangkumi lebih 700 juta orang.

Pemimpin ASEAN turut menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, kesinambungan dasar berwawasan besar yang menjadi pelan hala tuju untuk memperdalam integrasi serantau dan membina masa depan bersama yang lebih makmur dan berdaya tahan.

Tahun ini juga menyaksikan ASEAN memperdalam kerjasama dengan Selatan Global, menonjolkan kepentingan rantau itu yang semakin berkembang serta jangkauan diplomatiknya yang semakin meluas.

Antara sorotan lain ialah penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang julung kali diadakan di Malaysia pada Mei, yang menggambarkan ketangkasan serta pandangan strategik ASEAN dalam menangani cabaran geoekonomi yang berubah.

Profil global ASEAN yang semakin kukuh turut terserlah menerusi penyertaan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan pada Oktober, serta kemasukan Algeria, Uruguay dan Finland ke dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Selama hampir enam dekad, komitmen kukuh ASEAN terhadap kepusatan ASEAN dan rangka kerja keselamatan serantau telah mengekalkan Asia Tenggara sebagai zon keamanan dan pertumbuhan, membimbing peranannya dalam hal ehwal global.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia turut menarik perhatian global terhadap dinamisme blok serantau itu, menempatkan ASEAN sebagai aktor berkaliber tinggi, bebas dan inklusif dalam persekitaran global yang semakin berpecah.

Penganalisis hal ehwal antarabangsa, Dr Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata Kepengerusian Malaysia telah meningkatkan kepentingan strategik blok serantau yang kini mempunyai 11 anggota itu, sekali gus menaikkan kredibilitinya di pentas global.

Beliau menyatakan bahawa penglibatan pemimpin dunia dengan ASEAN - termasuk wakil dari Amerika Syarikat, China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Selatan Global - mencerminkan pengiktirafan meluas terhadap pendirian diplomatik ASEAN yang seimbang dan tidak berpihak.

Namun, beliau menekankan bahawa adalah penting bagi ASEAN tegas mempertahankan prinsip keserantauan dan berkecualinya.

“Saya percaya ASEAN boleh terus kekal berkecuali. Hari ini kita melihat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya menempatkan organisasi itu sebagai paksi politik antara blok Barat dan Timur.

“Malah, pemimpin dunia menghormati ASEAN dan mengiktiraf pendirian berkecualinya. Prinsip berkecuali ini termaktub dalam Piagam ASEAN, namun ia mesti diperkukuh dan ditunjukkan oleh setiap negara anggota sepanjang tempoh mereka memegang Pengerusian ASEAN,” katanya kepada Bernama.

Berhubung Myanmar, beliau berkata tempoh Malaysia sebagai Pengerusi bergilir menyaksikan ASEAN mencapai kemajuan berperingkat dalam usaha damai.

Pada akhir Oktober, Anwar dilaporkan berkata bahawa usaha berterusan ASEAN, termasuk beberapa siri mesyuarat dan dialog dengan pemimpin Myanmar, telah berjaya mengurangkan jumlah insiden keganasan di beberapa wilayah.

“Selain itu, Perdana Menteri Anwar tidak pernah mengabaikan isu Myanmar, dan negara itu masih terbabit dalam pelbagai aktiviti ASEAN, termasuk sidang kemuncak,” katanya.

Tawfik berpendapat ASEAN perlu memainkan peranan lebih aktif dan membantu Myanmar melaksanakan reformasi politik selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

Sementara itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah berkata Kepengerusian Malaysia merupakan satu kejayaan penting, sambil bersetuju bahawa ia telah menempatkan ASEAN sebagai suara lebih berpengaruh di pentas global.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata ASEAN, yang diramalkan menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, mempunyai kekuatan kritikal untuk menegaskan kedudukannya jika terus berpegang pada prinsip keserantauan dan bekerjasama secara kolektif dan kukuh.

“Prinsip penting lain ialah negara anggota mesti saling menyokong tanpa meminggirkan mereka yang memerlukan,” katanya.

Faiz berkata ini sejajar dengan konsep “saling bergantungan secara berdaulat” yang diperkenalkan oleh Anwar.

Perdana Menteri dalam syarahan di Universiti Tianjin, China pada September berkata pendekatan itu menekankan bahawa sesebuah negara boleh memelihara kedaulatannya sambil kekal terbuka dalam kerjasama bagi memupuk kestabilan dan keamanan global serta membina masa depan bersama yang lebih berdaya tahan.

“Idea utamanya ialah sesebuah negara atau blok, tanpa mengira saiznya, harus merasa selamat dan tidak ditenggelami kuasa lebih besar dari segi ekonomi atau ketenteraan. Saya percaya ini prinsip yang baik untuk mengekalkan kestabilan jangka panjang,” kata Faiz.

Dengan populasi belia yang dinamik serta ekonomi yang kukuh, potensi ASEAN sebagai kuasa ekonomi dan strategik yang sedang muncul amat besar.

Ketika melangkah ke hadapan, ASEAN mesti terus merencana masa depan berasaskan visi dan nilai yang dikongsi, membentuk hala tuju yang memupuk pertumbuhan dan perpaduan dalam rantau ini dan di luarnya.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor-Leste, Thailand dan Vietnam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan