EKONOMI

China Beri Isyarat Mahu Perkukuh Perdagangan Dan Pelaburan, Cadang MOU - Tengku Zafrul

02/12/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- China telah memberi isyarat mengenai hasrat untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia melalui cadangan memorandum persefahaman (MOU), susulan perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) di Beijing baru-baru ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata cadangan MOU itu masih di peringkat awal namun dijangka menumpukan kepada pelaburan dua hala serta sektor strategik Malaysia yang berupaya menyokong kalangan syarikat China.

“Kita baru mengadakan satu mesyuarat setakat ini, dan kita akan mengemas kini sewajarnya (mengenai industri yang akan terlibat).

“Kita juga sedang mengenal pasti sektor strategik yang boleh menyokong syarikat China, sama ada untuk mewujudkan operasi mereka di sini atau berkembang merentas ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Sesi bertajuk “Farewell MITI, Hello New Horizons” itu dipengerusikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Kelab Concorde merupakan sebuah kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada kalangan editor kanan organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Tengku Zafrul berkata Malaysia telah menghantar satu pasukan ke Beijing minggu lepas untuk memberi penerangan kepada pegawai China mengenai perincian dan implikasi ART, susulan perbincangan yang diadakan lebih awal.

Beliau berkata China berpuas hati dengan penjelasan Malaysia dan menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Mereka mencadangkan idea MOU, dan malah di Kuala Lumpur sebelum ini mereka sudah menyuarakan kemungkinan tersebut. Di Beijing, perbincangan dibuat dengan lebih terperinci, khususnya komitmen mereka untuk menyegerakan MOU ini.

“Seperti yang saya sebutkan di Parlimen semalam, bukan mereka tidak mahu bekerja dengan kita, ini menunjukkan mereka mahu bekerjasama lebih rapat dan mahu hubungan ini menjadi lebih nyata,” katanya.

Mengenai unsur nadir bumi (REE), Tengku Zafrul berkata Malaysia mengalu-alukan penyertaan pemain global namun masih belum menerima cadangan rasmi.

“Kita mengalu-alukan China, Amerika Syarikat, Australia dan negara lain untuk melabur dalam pembangunan industri REE tengahan dan hiliran. Bagaimanapun, kita belum meluluskan sebarang lesen bagi China atau negara lain selain Lynas, kerana tiada permohonan yang dikemukakan setakat ini,” katanya.

Mengulas mengenai laporan bahawa China meminta pengeluar semikonduktor Nexperia yang turut beroperasi di Negeri Sembilan menghentikan peluasan global, beliau berkata operasi di Malaysia masih tidak terjejas.

“Operasi masih berjalan. Saya bercakap dengan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam. Jadi, kita akan tunggu maklum balas daripada syarikat tersebut. Setakat hari ini, operasinya masih seperti biasa,” katanya.

Tengku Zafrul akan menamatkan tempoh maksimum enam tahun atau dua penggal sebagai senator pada 2 Dis, 2025.

Beliau dilantik mengemudi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 3 Dis, 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara perkara menarik sepanjang tempoh menjadi Menteri Kewangan dan seterusnya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ialah beliau berkesempatan berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri.

Sebelum itu, beliau pernah berperanan sebagai Menteri Kewangan bagi tempoh 9 Mac, 2020 sehingga peletakan jawatan pada 9 Nov, 2022.

Pada 13 Nov, 2025, Tengku Zafrul memaklumkan Anwar mengenai hasrat untuk membantu penggantinya susulan berakhirnya tempoh perkhidmatan sebagai menteri.

Perdana Menteri berkata peranan baharu Tengku Zafrul akan diumumkan esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan