AM

Pencarian MH370 Akan Disambung Semula Pada 30 Dis Ini

03/12/2025 12:00 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Pencarian di kawasan laut dalam bagi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan disambung semula pada 30 Dis ini, menurut Kementerian Pengangkutan.

Kenyataan kementerian itu hari ini memaklumkan Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa ia akan menyambung semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dilaksanakan secara berselang-seli.

“Operasi pencarian akan memfokus kepada kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi bagi mengesan pesawat itu, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa perkembangan terkini itu menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memberikan penutupan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.

Pesawat itu, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. 

Meskipun operasi pencarian, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan, telah dilakukan secara bersama oleh Malaysia, Australia dan China, pesawat itu gagal dikesan dalam zon pencarian utama di selatan Lautan Hindi. 

Sejak itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai berasal daripada MH370 telah ditemukan di sepanjang pantai di barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Réunion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan