AM

Dewan Rakyat Lulus Ruu Antibuli 2025, Pacu Usaha Wujudkan Sekolah Lebih Selamat

03/12/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia hari ini mencatat sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, satu inisiatif perundangan komprehensif ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat dan bebas daripada budaya buli.

RUU tersebut antara lain memperkenalkan mekanisme khusus untuk menerima aduan, mencegah serta menguruskan insiden buli di institusi pendidikan dan institusi lain yang ditetapkan. Ia turut diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Melalui rang undang-undang itu, sebuah Tribunal Antibuli akan ditubuhkan sebagai badan berbidang kuasa sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli, sekali gus menyediakan laluan penyelesaian yang lebih cepat, adil dan berstruktur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan berkata buat permulaan, pelaksanaan RUU tersebut akan terpakai kepada golongan berusia 18 tahun ke bawah.

“Saya berdiri di sini memberi komitmen, jika diizinkan Allah, tahun depan kita akan menilai keberkesanan RUU ini bagi kumpulan bawah 18 tahun, dan pada 2026 kita akan mengkaji perluasan pelaksanaan kepada mereka berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Azalina berkata menerusi RUU itu, tribunal boleh mengeluarkan perintah terhadap responden, atau bagi responden kanak-kanak, ibu, bapa atau penjaga, untuk membayar pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 bagi sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami mangsa akibat buli.

Beliau menjelaskan, pendekatan ini bersifat pencegahan kerana tanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada pihak sekolah atau guru.

"Jika ibu bapa mengetahui mereka turut boleh dikenakan ganti rugi atas kelakuan anak yang tidak bertanggungjawab, saya melihat ini boleh berfungsi sebagai langkah pencegahan," katanya.

Selain itu, RUU berkenaan juga membolehkan tribunal mengarahkan ibu bapa atau penjaga hadir bersama responden kanak-kanak ke sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan yang disediakan oleh agensi kerajaan, sekali gus memperkukuh pendekatan pencegahan.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Azalina berkata statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan menunjukkan sejak 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah.

Beliau menambah, National Health and Morbidity Survey 2022 oleh Kementerian Kesihatan pula menunjukkan 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli, dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Sementara itu, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 160 kes buli, termasuk buli fizikal dan buli atas talian, dengan 78 peratus mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun antara Ogos hingga Oktober tahun ini.

"Secara keseluruhannya, statistik ini mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dan rentan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan