AM

MAHA 2026 Di MAEPS Dari 28 Ogos Hingga 6 Sept - Mohamad Sabu

03/12/2025 05:53 PM

SERDANG, 3 Dis (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 Sept di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Berucap pada Majlis Prapelancaran MAHA 2026 di sini hari ini, beliau berkata pameran dwitahunan itu menyasarkan empat juta pengunjung, 2,000 peserta pameran dan transaksi jualan sebanyak RM58 juta.

“Antara pengisian utama pada edisi kali ini ialah Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air, agro safari dan pelbagai segmen lain yang berimpak tinggi.

“Keseluruhan pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada pengunjung namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya.

MAHA 2026 mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.

Memetik hasil dapatan Banci Pertanian 2024, Mohamad berkata ia menunjukkan 45 peratus penggiat sektor pertanian terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya tiga peratus dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun.

Beliau berkata jurang generasi itu membimbangkan dan memerlukan perhatian segera dan penumpuan khusus, sehubungan itu, penganjuran MAHA 2026 dilihat penting sebagai satu daripada usaha untuk menarik minat anak muda menceburi bidang pertanian.

“Kita mahu pada masa hadapan, Malaysia menjadi antara pengeluar utama makanan di rantau ini. Justeru, penglibatan lebih ramai generasi muda perlu digerakkan dari sekarang termasuk di MAHA 2026,” katanya.

Mohamad berkata pempamer luar negara turut dijemput menyertai MAHA 2026 dan mereka turut digalakkan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan terutamanya dari segi pemindahan teknologi.

Mengimbau kejayaan MAHA 2024, beliau berkata 5.5 juta pengunjung telah hadir, jauh melepasi sasaran awal sebanyak tiga juta orang dan ia mencatatkan prestasi membanggakan apabila nilai jualan langsung mencapai RM48.5 juta.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa MAHA bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform strategik yang berupaya menggerakkan ekosistem agromakanan negara ke tahap lebih tinggi.

“Penganjuran MAHA 2026 dan program-program Road to MAHA 2026 akan menekankan nilai Malaysia MADANI iaitu ia bukan sekadar mempamerkan kehebatan teknologi dan kemampuan sektor agromakanan negara, tetapi turut mengiktiraf komitmen, ketabahan dan usaha gigih petani, nelayan dan penternak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan