JENAYAH & MAHKAMAH

AADK Tahan 1,078 Individu Dalam Ops Cegah Khas

03/12/2025 09:22 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 1,078 individu dalam Ops Cegah Khas yang dilaksanakan di seluruh negara selama tiga hari bermula Isnin lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata kawasan yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi di Perak ialah daerah Kinta, iaitu sebanyak 164 orang, di Larut, Matang dan Selama pula membabitkan 55 orang, manakala di daerah Hulu Perak sebanyak 48 orang.

Zainudin berkata dalam operasi di sekitar daerah Kinta, AADK menyerbu beberapa tempat penagihan di sekitar kawasan Chemor, Tambun, Bercham dan Menglembu.  

“Seorang wanita berusia 58 tahun yang juga klien AADK dan masih menjalani pengawasan di bawah AADK Daerah Kinta turut ditahan, manakala suaminya berumur 65 tahun mempunyai rekod tangkapan polis.

"Pasangan suami isteri itu tidak bekerja dan sumber kewangan untuk membeli dadah adalah daripada anak-anak mereka," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru Raya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil risikan turut mendapati port (tempat) penagihan di sekitar kawasan perkuburan, tempat pelupusan sampah dan semak kembali dijadikan sarang penagihan walaupun sebelum ini telah dimusnahkan oleh pihak AADK pada awal tahun.  

"Tempat penagihan itu aktif antara 6 pagi hingga 10 pagi dan kemudian aktif semula antara 5 petang hingga 7 malam dengan anggaran penagih pada satu-satu masa adalah antara 20 hingga 30 orang," katanya.

AADK akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan selaras dengan pindaan Akta 283-Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

-- BERNAMA  

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan