AM

Usul Gantung Takiyuddin Ditangguh Ke Sesi Dewan Rakyat Akan Datang

04/12/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ditangguhkan ke sesi mesyuarat akan datang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memohon agar usul berkenaan ditangguhkan.

“Selepas mendengar hujah semua pihak dan menimbang hujah-hujah yang diberikan maka bagi pihak kerajaan, saya memohon supaya usul ini ditangguh dan dibawa pada sesi akan datang,” kata Shamsul Anuar ketika sesi penggulungan usul berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kenyataan Takiyuddin berhubung latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dibuat tanpa memberikan gambaran sebenar dan telah mencalarkan imej agensi berkenaan.

“Ini realitinya, dan ia menjatuhkan martabat mereka yang menjaga keselamatan perairan negara... ekoran kenyataan (Ahli Parlimen) Kota Bharu, APMM telah menerima kecaman yang amat teruk di sosial media.

“Oleh itu, menjadi kewajipan kerajaan (untuk mempertahankan APMM),” katanya.

Terdahulu, Shamsul Anuar ketika membentangkan usul itu berkata Takiyuddin telah berucap berhubung satu kejadian melibatkan APMM di Masjid Rusila semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Okt lepas.

Beliau berkata Ahli Parlimen itu dalam ucapannya telah mengaitkan kejadian tersebut dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat suci ibadat dan percubaan menakut-nakutkan rakyat melalui ucapannya telah memberi imej negatif terhadap anggota serta imej APMM sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.

“Bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk dan Ahli Parlimen Marang masing-masing pada 6 dan 13 Okt 2025, melalui pemakluman oleh Polis Diraja Malaysia, mempunyai pengetahuan bahawa kejadian tersebut adalah pelaksanaan Latihan Pelarian dan Pelolosan Kursus Asas Komando STAR Team oleh APMM,” katanya.

Usul berkenaan menimbulkan suasana tegang dan Johari beberapa kali terpaksa menenteramkan keadaan ketika sesi perbahasan.

Takiyuddin, yang turut berbahas, memohon agar usul itu dipinda untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi memberi ruang kepada beliau untuk mempertahankan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan