AM

Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang Dinaik Taraf Atasi Risiko Banjir Kilat

04/12/2025 05:51 PM

MELAKA, 4 Dis (Bernama) -- Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang di sini akan dinaik taraf dengan penambahan sistem pam air yang dianggarkan menelan kos pembinaan kira-kira RM1 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan itu, amat penting sebagai satu daripada inisiatif mengurangkan risiko banjir kilat khususnya di 15 kawasan di daerah Melaka Tengah sepanjang lembangan Sungai Melaka.

Beliau berkata kawasan terlibat antaranya Taman Angkasa Nuri, Taman Merdeka Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Malim Jaya, Rumah Awam Peringgit Jaya, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Morten, Kampung Seri Krubong, Krubong Utama, Bachang, Bachang Baru, Taman Rumpun Bahagia dan Kampung Pengkalan Rama Pantai.

"Cadangan penambahan sistem pam air di Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang di Sungai Malim ini dalam kajian serta penilaian bagi menentukan kapasiti pam yang sesuai dipasang kerana jumlah kapasiti air yang perlu dipam di Sungai Malim ini adalah tinggi dan pam ini berfungsi mempercepat pengaliran air ke laut apabila hujan lebat terutama ketika berlakunya air laut pasang.

"Setakat ini, memang pintu kawalan ini dilengkapi dengan enam pintu air yang dikawal secara automatik bagi mengalirkan air ke laut bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berpontesi namun ia tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang, di sini hari ini.

Lim berkata Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang merupakan salah satu pintu kawalan utama di negeri itu yang mengawal pengaliran keluar dan masuk air sepanjang lembangan Sungai Melaka.

Terdahulu, beliau berkata dua daripada enam pintu air yang telah rosak di Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang telah siap dibaiki pada 15 Nov lepas dengan kos RM150,000.

"Projek membaik pulih pintu air berkenaan kini dalam tempoh pengujian bagi memastikan dua pintu itu berfungsi dengan baik khususnya dalam tempoh Monsun Timur Laut ini," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kerosakan dua pintu air berkenaan bukan punca utama banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu ekoran ribut tropika Senyar pada 28 Nov lepas kerana kerja-kerja baik pulih telah selesai dijalankan.

Sebaliknya bencana itu katanya berlaku ekoran air dari Sungai Tampin turun ke Sungai Melaka dan pada tarikh berkenaan juga, JPS negeri telah membuka kesemua enam pintu air susulan amaran Jabatan Meteorologi berkaitan ribut tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan