AM

Moratorium Hingga Dua Tahun Sebelum Kuat Kuasa Pindaan Akta SIP - Perkeso

04/12/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi jaminan akan melaksanakan moratorium sehingga dua tahun sebelum menguatkuasakan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melibatkan kewajipan majikan memaklumkan kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu.

Menjelaskan beberapa kekeliruan mengenai pindaan Seksyen 45F Rang Undang-Undang SIP (Pindaan 2025), Perkeso menerusi kenyataan memaklumkan moratorium itu bagi memastikan peralihan yang teratur dan tidak membebankan majikan, khususnya bagi membantu perusahaan kecil dan mikro menyesuaikan diri dengan keperluan itu. 

“Pelaksanaan terperinci hanya akan bermula selepas menerima maklum balas daripada wakil majikan dan pihak berkepentingan menerusi sesi libat urus, terutama bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dalam tempoh ini, fokus adalah kepada pendidikan, libat urus dan pematuhan secara berfasa dan sukarela, bukan penalti. Proses memaklumkan kekosongan jawatan adalah mudah, ringkas dan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal MYFutureJobs. 

“Apabila jawatan diisi, maklumat itu boleh dikesan secara automatik melalui pendaftaran pekerja baharu dan caruman majikan melalui portal dalam talian Perkeso, sekali gus mengurangkan beban pentadbiran majikan,” menurut kenyataan itu. 

Sesi libat urus menyeluruh bersama kumpulan majikan, persatuan industri dan pengamal sumber manusia dijangka diadakan selepas sesi Dewan Negara, yang berakhir pada 18 Dis bagi menerangkan mekanisme pelaksanaan dan mendapatkan maklum balas industri.

Pertubuhan itu menjelaskan pindaan berkenaan bukan bertujuan menghukum tetapi menambah baik ekosistem pekerjaan negara dalam memberi akses maklumat peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya pencari kerja dapat melihat peluang yang wujud secara telus dan teratur.

Pindaan itu turut diyakini dapat membantu majikan memadankan pekerjaan dengan tenaga kerja yang sesuai, sekali gus meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengambilan.

“Seterusnya ia akan memberi gambaran pasaran buruh negara yang tepat, semasa dan teratur bagi membolehkan kerajaan merangka dasar pekerjaan dan latihan kemahiran berdasarkan data sebenar.

“Kesemua matlamat ini adalah asas untuk memastikan pasaran buruh negara menjadi lebih dinamik, responsif dan mampan. Perkeso kekal komited memastikan pelaksanaan pindaan ini adil, seimbang dan menyokong perkembangan ekonomi serta pasaran kerja negara,” menurut kenyataan itu. 

Selasa lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU SIP (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan insuran pekerja. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan