AM

Pindaan Akta FINAS Bukti Komitmen Kerajaan Perkukuh Industri Filem

05/12/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 (Akta 244) yang diluluskan di Dewan Rakyat menandakan fasa baharu dalam usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, fungsi kawal selia dan kebajikan pekerja industri perfileman.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah tersebut turut memastikan perbadanan itu kekal relevan dan efektif dalam memacu pembangunan sektor berkenaan.

Melalui pindaan itu, Akta FINAS 1981 diselaraskan dengan keperluan semasa industri dan perkembangan teknologi baharu, termasuk platform digital over-the-top (OTT) serta peningkatan produksi kandungan kreatif tempatan.

“Pindaan turut memastikan dasar dan peraturan subsidiari FINAS lebih responsif dan menyokong pembangunan jangka panjang industri perfileman. Walaupun platform video-on-demand (VOD) merupakan sebahagian ekosistem kandungan hari ini, penyedia OTT kekal dikecualikan daripada pelesenan.

“Bagi platform digital, hanya aktiviti produksi dan pengedaran filem tertakluk di bawah FINAS, manakala pemameran hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya wujud pelesenan VOD di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu lepas (3 Dis).

FINAS memaklumkan, pindaan itu juga mengukuhkan lagi kefahaman bahawa Akta 244 meliputi semua bentuk aktiviti pengeluaran dan pengedaran komersial termasuk filem, drama, dokumentari, animasi dan iklan yang ditayangkan di TV, satelit, pawagam, OTT serta media sosial.

“Kerajaan menegaskan bahawa pindaan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti, tetapi memastikan ekosistem produksi yang lebih selamat, teratur dan profesional,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa selaras dengan pindaan, FINAS akan memperincikan perlindungan dalam peraturan subsidiari, termasuk  kebajikan kru dan pekerja produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran dan keselamatan kerja, perlindungan insurans seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta keselamatan produksi dan set penggambaran.

“FINAS menyambut baik kelulusan pindaan ini demi memperkukuh peranan sebagai peneraju industri yang lebih moden, telus dan berintegriti, seiring kemajuan teknologi serta keperluan perfileman kini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan