AM

Melaka Cadang Satu DUN Satu Jengkaut Urus Gali Liang Lahat

05/12/2025 03:18 PM

MELAKA, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mengoptimumkan penggunaan jengkaut pada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan tanah kubur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata langkah itu dilaksana bagi memastikan urusan pengurusan tanah kubur, termasuk kerja menggali, meratakan serta memperkemas kawasan perkuburan dapat dilakukan dengan lebih cepat, selamat dan teratur.

"Saya akan mencadangkan bajet perkara ini manakala kajian mendalam tentang penyediaan liang kubur lebih awal akan dilakukan. Jadi jengkaut boleh menggali di semua tanah perkuburan dan dalam masa sama menyediakan 10 kubur lebih awal. Apabila ada kematian, kita hanya perlu kemaskan (liang lahat) sahaja," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata bajet kali ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri memperteguh syiar Islam dengan memperuntukkan RM79.98 juta bagi perbelanjaan pengurusan dan RM12.35 juta bagi perbelanjaan pembangunan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). 

"JAIM menjadi antara penerima peruntukan terbesar di bawah pentadbiran negeri Melaka, menjadi sokongan strategik kepada pembangunan hal ehwal Islam. 

"Selain penggali kubur di masjid kariah negeri Melaka yang menerima peruntukkan RM576,000,  guru-guru KAFA dan Tadika JAIM  juga menerima kenaikan elaun kepada RM1,700 serta meneruskan inisiatif MeSRa elaun cuti bersalin kepada guru wanita," katanya. 

Pembentangan bajet negeri Melaka 2026 bertemakan “Pembangunan Terancang, Demi Rakyat, Untuk Rakyat” melibatkan anggaran pembelanjaan mengurus berjumlah RM528.8 juta, manakala anggaran pembelanjaan pembangunan mencecah keseluruhan RM93 juta. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan