AM

Program Rancakkan MADANI Wadah Kerajaan Bertemu Rakyat Lapor Pencapaian - PMO

05/12/2025 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku bermula hari ini hingga Ahad, menjadi wadah penting kerajaan untuk bertemu rakyat dan melaporkan pencapaian yang kini menjangkau tahun ketiga pentadbiran secara terbuka serta mudah difahami rakyat.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata program tiga hari itu yang berlangsung di Dataran Putrajaya merupakan kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, susulan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2023 dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).

Beliau berkata program itu menjadi wadah penting untuk menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami oleh rakyat keseluruhannya.

“Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, kepimpinan Kerajaan MADANI diterajui YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri kini menjangkau tahun ketiga pentadbiran. Tiga tahun yang sarat dengan cabaran dan perubahan ini telah menzahirkan komitmen yang konsisten bahawa tekad Kerajaan MADANI tidak pernah berganjak.

“… yakni untuk memacu reformasi, memperkukuh tatakelola yang baik dan memastikan setiap dasar serta inisiatif benar-benar membawa manfaat terus kepada rakyat,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim hari ini.

Tunku Nashrul berkata pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama daripada Produk Rakyat MADANI hingga Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dihimpunkan di bawah satu bumbung bagi memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan secara holistik dan mudah diakses.

Beliau berkata sepanjang tiga hari itu, rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan langsung kementerian dan agensi kerajaan, menyertai aktiviti kekeluargaan, karnival kerjaya, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah dan pameran keselamatan.

Selain itu, program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik-Kecerdasan Buatan (STEM-AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti sukan, pengangkutan, pelancongan dan pelbagai tarikan lain termasuk pertukaran helmet motosikal, yang semuanya dirangka agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat kebanyakan.

“Perdana Menteri juga turut dijadualkan hadir ke program ini pada 7 Dis bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan serta berinteraksi secara langsung bersama rakyat,” katanya.

Selain manfaat langsung itu, Tunku Nashrul berkata Program Rancakkan MADANI turut membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan sekali gus memperkukuh hubungan kepercayaan yang menjadi asas Malaysia MADANI.

“Sehubungan dengan itu, Pejabat Perdana Menteri amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat yang berkelapangan untuk hadir, memanfaatkan peluang yang tersedia dan menyertai pelbagai inisiatif sepanjang tiga hari ini.

“Rancakkan MADANI merupakan manifestasi tekad Kerajaan MADANI untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, lebih telus dan terus berada pada landasan reformasi, demi membina negara yang sejahtera, makmur dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan