AM

Tabung Pendidikan Yayasan Undang Johol Pemacu Pembangunan Pendidikan

06/12/2025 10:52 AM

SEREMBAN, 6 Dis (Bernama) -- Tabung Pendidikan Yayasan Undang Johol menjadi pemacu utama dalam pembangunan pendidikan di Luak Johol, di Negeri Sembilan khususnya bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah berkata penubuhan tabung itu dapat memperkukuh keupayaan yayasan dalam menyediakan bantuan yang lebih tersusun dan berkesan kepada pelajar di semua peringkat, termasuk sekolah rendah, menengah serta bakal penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Beliau berkata tabung tersebut diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang layak serta golongan berkeperluan khas dalam bidang pendidikan, termasuk pelajar tahfiz dan aliran sekolah agama.

“Harapan kami agar usaha memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan penduduk jajahan Luak Johol dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan Undang Johol di sini malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Selaras dengan pelancaran tabung itu, sebuah Jawatankuasa Strategik Pendidikan bagi tempoh 2024-2040 turut diwujudkan sebagai hala tuju penggubalan Dasar Pendidikan Yayasan Undang Johol yang lebih holistik.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh usaha yayasan tersebut dalam mendepani isu pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dan rakan strategik, kerajaan negeri yakin inisiatif itu dapat membantu pelajar mengembangkan potensi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sama ada di dalam atau luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan