AM

Sultan Nazrin Berkenan Berangkat Ke Istiadat Konvokesyen USAS Ke-18

06/12/2025 01:08 PM

KUALA KANGSAR, 6 Dis  (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-18 di Dewan Jubli Perak universiti itu, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Sultan Nazrin, yang juga Canselor USAS, berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda serta Diploma Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM).

Baginda turut menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Pascasiswazah, Ijazah Sarjana Muda serta Diploma Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial (FPISS) kepada para graduan.

Sultan Nazrin turut berkenan menganugerahkan lima anugerah kecemerlangan akademik iaitu Anugerah Tuanku Canselor kepada Roselind Nadiera Talib, Anugerah Menteri Besar Perak kepada Nor Asmira Li Mohamed Ali, Anugerah Naib Canselor USAS kepada Nurjaslinda Jamaluddin, Anugerah Terbaik FPISS kepada Eddie Hidayat Qauf Husain, dan Fatin Nurdayana Kasmuri, serta Anugerah Terbaik FPTM kepada Nor Jannah Aqilah Zas Samsul Kamal dan Ummi Faqihah Sobri.

Terdahulu, Wan Sabri dalam sembah ucapannya berkata istiadat konvokesyen selama dua hari ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 1,755 graduan, termasuk enam penerima Ijazah Doktor Falsafah, 18 penerima Ijazah Sarjana, 32 penerima Diploma Pascasiswazah, 759 penerima Ijazah Sarjana Muda, dan 940 penerima Diploma.

Beliau berkata USAS terus membuktikan keupayaannya melahirkan graduan kompeten melalui pelbagai program akademik dan bukan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Antaranya, Program Sains, Teknologi, Agrikultur & Landskap Ekspo (S.T.A.R.T.L.E 2025) yang mengetengahkan inovasi dalam bidang sains, teknologi, agrikultur dan landskap. Program BizFest@USAS 2025 pula bertujuan menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai aktiviti, sekali gus mengukuhkan minda niaga dan daya saing pelajar.

“Pelbagai persidangan antarabangsa telah diadakan, termasuk Persidangan Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Arab ke-2 (ICTALL 2025) dengan kerjasama The Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ICESCO) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY).

Katanya, penganjuran persidangan berimpak tinggi ini menonjolkan reputasi USAS sebagai pusat percambahan ilmu di peringkat antarabangsa serta rakan strategik yang dipercayai oleh pelbagai institusi dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan