KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Taman Prima Saujana, Kajang, memasuki hari ketiga hari ini dengan pencarian diperluas hingga sejauh 10 kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata operasi itu melibatkan dua zon pencarian, bermula dari lokasi kejadian menuju ke Jalan Mendaling hingga ke Jalan Reko bagi mengesan remaja berusia 14 tahun yang masih belum ditemukan sejak dihanyutkan arus deras Khamis lepas.
“Operasi diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan dan hari ini dua zon pencarian dibuka dengan jarak lebih kurang 10 km,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebanyak 65 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rescue Bencana Malaysia (RBM) terbabit dalam operasi itu.
“Pasukan SAR turut dibantu dua ekor anjing pengesan K9 JBPM, Team SKUBA JBPM, Unit Dron APM serta dua bot whally yang menyusuri Sungai Langat ke arah Dengkil.
Dalam kejadian Khamis lepas, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, Kajang.
Mangsa berusia 12 tahun ditemukan pada 7.47 malam di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan, Kajang kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada 10 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial