KLANG, 6 Dis (Bernama) -- Karnival Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) 2025 berjaya mencatat nilai jualan keseluruhan sebanyak RM12.34 juta melebihi sasaran awal sebanyak RM10 juta, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri.
Beliau berkata penganjuran tahun ini merangkumi 15 lokasi Parlimen, lapan lokasi peringkat negeri, dua lokasi bersama Karnival Jom Heboh dan dua lokasi Karnival Khas IMAT.
“Kita menyasarkan untuk menganjurkan IMAT di 30 lokasi, dan setakat ini telah mencapai 26 lokasi dengan jualan RM12.34 juta. Pencapaian ini hasil sokongan semua pihak, terutama usahawan serta kerjasama kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival IMAT @ Selangor.
Beliau berkata karnival seterusnya akan bergerak ke Alor Gajah, Melaka; Arau, Perlis; Alor Setar, Kedah; dan Parit Buntar, Perak. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Luqman Ahmad.
Mengulas mengenai penganjuran di Selangor, Abdul Rashid berkata program itu menyasarkan nilai jualan RM500,000 dan dijangka menarik kehadiran 25,000 pengunjung, selain memberi manfaat kepada 130 usahawan.
Beliau berkata selain bertujuan mempromosikan produk asas tani sebagai sektor perniagaan berpotensi tinggi karnival itu juga merupakan platform untuk menarik minat generasi muda agar melihat pemasaran hasil pertanian sebagai satu kerjaya yang menguntungkan, moden dan relevan.
“Karnival IMAT @ Selangor juga memainkan peranan penting dalam menonjolkan produk serta perkhidmatan usahawan setempat, sekali gus membolehkan mereka mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan meningkatkan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Luqman berkata pengunjung boleh menikmati potongan harga lima hingga 30 peratus bagi pelbagai barangan asas dan produk makanan sepanjang penganjuran karnival di pekarangan parkir AEON Mall Bukit Tinggi, Klang, sehingga esok. Potongan harga ini bertujuan membantu orang ramai memperoleh barangan segar dan keperluan asas pada harga berpatutan.
Karnival IMAT @ Selangor menampilkan jualan produk industri asas tani, makanan popular, People Market, florikultur dan buah-buahan tempatan. Selain itu, terdapat jualan Ehsan Rahmah, jualan ANGKASA, serta Kombo IMAT dan Kombo Madani berharga RM10 setiap satu, masing-masing sebanyak 300 unit dan 3,000 unit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial