AM

KKR Lulus RM10.8 Juta Baik Pulih Cerun Runtuh Di Wang Kelian

06/12/2025 06:52 PM

KANGAR, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan sebanyak RM10.8 juta pada 1 Dis lepas, bagi melaksanakan kerja membaik pulih cerun yang runtuh di beberapa lokasi sepanjang laluan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian serta Jalan Pagar Keselamatan Bukit Kuan Choh dekat Padang Besar.

Menurut kenyataan Istana Arau hari ini, kerja awalan dijangka dimulakan dalam masa terdekat manakala kerja pembaikan utama dijadualkan bermula Januari tahun depan, dengan tempoh keseluruhan pembaikan dianggarkan mengambil masa enam hingga 12 bulan, bergantung kepada keadaan cuaca dan tahap kerosakan.

"Pelaksanaan kerja baik pulih akan melibatkan beberapa kaedah teknik cerun seperti Tie Back WallSoil Nailing, ECM, Hydromulching dan Rockfall Netting.

“Pendekatan teknikal ini dipilih bagi memastikan kestabilan cerun dalam jangka panjang sekaligus meningkatkan keselamatan laluan kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, maklumat berkenaan telah disembah maklum oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Perlis Norikhwan Abu Seman ketika mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi lawatan ke lokasi kejadian tanah runtuh di Wang Kelian, Kaki Bukit semalam.

Dalam kenyataan sama, Norikhwan berkata laluan di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian masih ditutup kepada orang awam, namun pergerakan kenderaan tidak melebihi tiga tan dibenarkan secara berjadual dari 7 pagi hingga 7 malam.

"Laluan ini dibuka secara terhad kepada penduduk setempat, kenderaan yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikan, serta pelancong atau individu ingin mengambil kenderaan yang terkandas.

"Dari 7 malam hingga 7 pagi pergerakan dihadkan kepada penduduk kampung, pasukan pembaikan dan urusan kecemasan sahaja," katanya.

Dalam kejadian 23 Nov lepas, hampir 400 mangsa terkandas di Wang Kelian dekat Padang Besar, selepas berlaku runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian, berikutan hujan berterusan sejak awal pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan