AM

KPKT Peruntuk RM85.6 Juta Kepada Jabatan Landskap Negara termasuk Sasaran Bina 1,000 Taman MADANI 2026

06/12/2025 09:23 PM

IPOH, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak RM85.6 juta diperuntukkan kepada Jabatan Landskap Negara (JLN) bagi pembinaan 100 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara bagi tahun 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu bertujuan memenuhi sasaran 1,000 TRM di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat.

“Bagi tahun ini, kita bukan sahaja berjaya mencapai sasaran 100 buah TRM, malah setakat pagi tadi sebanyak 216 telah disiapkan sepenuhnya, melebihi sasaran asal. Peruntukan ini adalah untuk memastikan sasaran 1,000 TRM tercapai,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ruang Komuniti (RUKOM) ke-100 di Pangsapuri Seri Kepayang di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan TRM Taman Tanjak di Batu Gajah yang terletak di antara Jalan Gopeng dan Sungai Kinta, dengan peruntukan RM500,000.

Dalam pada itu, Nga berkata untuk negeri Perak sahaja, terdapat 34 TRM, jumlah tertinggi berbanding negeri lain.

Nga berkata sebagai langkah memantau jenayah vandalisme melalui Program Bandar Selamat, pemantauan akan dipertingkatkan di kawasan TRM termasuk pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV).

“Kita berharap dengan inisiatif murni kerajaan ini, rakyat yang budiman dapat menjaga harta awam dengan baik, pemasangan CCTV akan diperbanyakkan bagi meminimumkan kejadian kemusnahan harta benda,” katanya.

Menyentuh mengenai RUKOM, Nga berkata di bawah agensi URBANICE Malaysia, setakat ini sebanyak 100 ruang komuniti  telah diwujudkan di kawasan perumahan, terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan kos rendah di seluruh negara.

RUKOM diwujudkan sebagai ruang sosial inklusif untuk semua lapisan masyarakat, khususnya penduduk PPR, yang menyumbang secara langsung kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 bagi memastikan bandar dan komuniti selamat, inklusif dan mampan.

“RUKOM berfungsi sebagai platform aktiviti komuniti, latihan kemahiran, interaksi selamat serta  pembinaan identiti kejiranan termasuk ruang membaca untuk anak-anak.

“Setiap RUKOM dibina dengan kos antara RM20,000 hingga RM30,000. Bagi 100 RUKOM ini,  kita membelanjakan kurang daripada RM30 juta dan 12 daripadanya diwujudkan di negeri Perak termasuk di pangsapuri ini,” katanya.

Pelaksanaan RUKOM pertama bermula di PPR Seri Malaysia, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2023 dan sejak itu, KPKT terus mempercepatkan usaha membina serta menambah baik lebih banyak ruang komuniti di kawasan PPR seluruh negara.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan