AM

LPPKN Tumpu Masa Depan Keluarga Hadapi Cabaran Digital Dan Negara Menua

11/12/2025 11:06 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memberi tumpuan kepada cabaran masa depan keluarga melibatkan perubahan demografi, teknologi digital dan trend keluarga kecil, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Hairil Fadzly Md Akir.

Beliau berkata langkah itu dirangka bagi memahami kesan perubahan populasi dan cabaran baharu terhadap institusi keluarga selain memastikan keluarga Malaysia kekal berdaya tahan dan progresif.

“Dalam kita melihat masa depan, kita buat pemikiran berpandangan jauh dan senario masa depan. 

“Kita melihat tumpuan ini berdasarkan kajian dan pemantauan terhadap trend indikator sosial… akan berlaku perubahan demografi kepada penduduk dan institusi kekeluargaan,” katanya dalam sesi Podcast Kasih Lensa Keluarga terbitan Bernama TV.

Hairil Fadzly berkata demikian ketika ditanya perancangan LPPKN untuk tempoh masa jangka panjang hingga 20 tahun akan datang.

Beliau berkata antara megatrend yang perlu diberi perhatian ialah peralihan ke arah negara menua, cabaran pengurusan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) serta aspek keselamatan siber yang semakin penting dalam kehidupan keluarga moden.

Perubahan struktur keluarga kecil menurut beliau, juga memberi tekanan dari segi sokongan domestik kerana apabila bilangan ahli rumah semakin berkurangan, nilai kekeluargaan perlu turut diperkukuh.

“Cabaran yang ada ialah apabila keluarga semakin mengecil, sokongan keluarga juga mungkin akan semakin mencabar,” katanya.

Hairil Fadzly berkata penekanan terhadap nilai kekeluargaan dinyatakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) melalui kod nilai K.A.S.I.H, iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni yang bertujuan membentuk masyarakat penyayang, berakhlak dan harmoni.

“K.A.S.I.H akronim penting kerana pengurusan nilai ini sokongan kepada institusi keluarga. Sekiranya keluarga itu mempunyai cabaran, ada keluarga akan membantu, begitu juga dengan komuniti,” katanya dan menambah inisiatif berkaitan akan dibentuk selaras dengan penekanan nilai itu.

Menyentuh ulang tahun ke-60 penubuhan LPPKN, Hairil Fadzly berkata agensi itu kekal memainkan peranan penting dalam membantu kesejahteraan keluarga sejak ditubuhkan pada 1966.

Beliau berkata Malaysia antara negara terawal yang mempunyai dasar khusus berkaitan keluarga sebelum kerajaan menggubal Dasar Keluarga Negara (DKN) pada 2010 sebagai penyataan matlamat nasional untuk memfokuskan institusi keluarga dalam pembangunan sosial negara.

Konsep kesejahteraan keluarga diperkenalkan dan pemantauan dibuat melalui indikator kesejahteraan keluarga yang dibangunkan sejak 2011 dengan siri seterusnya pada 2016, 2019 dan 2024.

“Usaha meraikan dan memperkukuh institusi keluarga turut diperluas apabila November diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan pada 2014 sebelum dasar baharu keluarga kini digubal bagi hala tuju 10 tahun ke hadapan,” katanya.

Pada Mei, LPPKN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)  dilaporkan dalam proses mengemas kini DKN baharu.

KPWKM memaklumkan ia bertujuan agar dasar itu kekal relevan dan responsif terhadap perubahan ekonomi, demografi dan sosial demi menyokong kesejahteraan keluarga serta menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan