KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 11.4 peratus kepada 29,673 tan pada Oktober 2025 daripada 26,647 tan pada September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut dipacu oleh sektor pekebun kecil yang menyumbang sebanyak 86.5 peratus kepada pengeluaran berbanding 13.5 peratus sektor estet.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 22.7 peratus (Oktober 2024: 38,400 tan metrik),” katanya dalam satu kenyataan.
DOSM berkata, jumlah stok getah asli pada Oktober 2025 berkurangan 8.9 peratus kepada 145,438 tan daripada 159,646 tan pada September 2025.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 80.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (19.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 52,932 tan pada Oktober 2025, menokok 57.8 peratus berbanding September 2025 (33,549 tan).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 55.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2025 diikuti Jerman (9.4 peratus), Emiriah Arab Bersatu (8.7 peratus), Amerika Syarikat (8.0 peratus) dan Mesir (2.7 peratus).
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 billion pada Oktober 2025, melonjak 12.4 peratus berbanding September 2025 (RM1.1 billion).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 1.4 peratus (Oktober 2025: 569.84 sen sekilogram; September 2025: 577.89 sen sekilogram) manakala sekerap menyusut 0.7 peratus (Oktober 2025: 600.44 sen sekilogram; September 2025: 604.53 sen sekilogram).
Trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) menurun 0.4 peratus dan 1.9 peratus.
DOSM berkata The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) merosot 1.5 peratus daripada US$1.74 sekilogram kepada US$1.71 sekilogram dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 4.9 peratus daripada US$2.11 sekilogram kepada US$2.00 sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial