POLITIK

78 ADUN Sabah Termasuk Enam Dilantik Angkat Sumpah Hari Ini

11/12/2025 04:38 PM

KOTA KINABALU, 11 Dis (Bernama) -- Sebanyak 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk enam ADUN lantikan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Datuk Kadzim M Yahya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Majlis angkat sumpah itu didahului ADUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri diikuti ADUN Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam selaku Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.

Secara keseluruhan, DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, namun satu kerusi iaitu DUN Lamag diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat lepas.

Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah serta ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

Selain itu, tujuh ADUN yang juga Anggota Jemaah Menteri Sabah turut mengangkat sumpah iaitu Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Jamawi Jaafar (Melalap), Datuk Jafry Arifin (Sukau), Datuk Nizam Abu Titingan (Apas) dan Datuk Julita Majungki (Matunggong).

Seramai 17 ADUN yang dilantik sebagai Pembantu Menteri turut menangkat sumpah termasuk termasuk Datuk Caesar Mandela Malakun yang juga ADUN lantikan.

Lima lagi ADUN lantikan yang mengangkat sumpah ialah Datuk Chin Shu Ying; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi; Datuk Roger Chin Ken Fong dan Grace Lee Li Mei.

Ketua Pembangkang DUN Sabah merangkap ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengangkat sumpah.

Terdahulu, Kadzim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Bung Moktar s ambil mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 Nov lepas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, diikuti Parti Warisan (25 kerusi), Barisan Nasional (enam), calon Bebas (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua).

Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan