KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan peruntukan denda daripada Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) (Pindaan) 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, FMM menyatakan penghargaan khususnya kepada Kementerian Sumber Manusia di atas keprihatinan dan tindakan terhadap isu yang dibangkitkan industri.
Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata dengan pemansuhan peruntukan tersebut, kerajaan menunjukkan pendekatan yang lebih konstruktif dan bekerjasama dengan majikan, seiring pandangan FMM bahawa pematuhan harus berasaskan kerjasama, bukannya penguatkuasaan bersifat hukuman.
"Langkah ini secara efektif mengubah kewajipan melaporkan kekosongan jawatan kepada suatu mekanisme yang lebih praktikal serta menyokong ketelusan pasaran buruh tanpa tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan," katanya.
Beliau berkata persekutuan itu menghargai kesediaan kerajaan mendengar kebimbangan yang dibangkitkan oleh majikan, isu yang mula diperincikan FMM dalam suratnya kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada 27 Nov, 2025 dan dalam kenyataan media susulan.
“Secara khusus, FMM menekankan bahawa cadangan asal Seksyen 45F(4), yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atas kegagalan memaklumkan kekosongan jawatan atau posisi baharu, merupakan beban besar, terutamanya bagi majikan yang mempunyai keperluan pengambilan pekerja secara kerap atau dalam jumlah besar.
“Pendekatan mengenakan denda itu juga tidak seiring dengan amalan antarabangsa, dengan notifikasi perkhidmatan pekerjaan lazimnya dikendalikan melalui mekanisme pentadbiran, bukan dengan hukuman denda," katanya.
Sementara itu, Lee berkata FMM turut mengambil maklum bahawa pemansuhan itu adalah untuk memperkukuh perlindungan sosial dan usaha pasaran buruh aktif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Dengan pelaksanaan pindaan SIP ini, FMM menyambut baik pemansuhan denda kewangan dan menyokong bentuk pematuhan yang tidak menghukum tetapi diurus melalui langkah pentadbiran, selaras dengan amalan global dan situasi perniagaan di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial