AM

Kempen Internet Selamat 2025 Wilayah Selatan Perkasa Lebih 26,000 Pelajar

12/12/2025 03:27 PM

MELAKA, 12 Dis (Bernama) -- Kempen Internet Selamat 2025 peringkat Wilayah Selatan berjaya memperkasakan lebih 26,000 pelajar melalui pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memaklumkan setakat 30 Nov lepas, kempen itu telah dilaksanakan di 1,478 institusi pendidikan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan penyertaan 26,617 pelajar.

"Program ini dianjurkan untuk meraikan kejayaan kerjasama strategik pelaksanaan inisiatif nasional Kementerian Komunikasi melalui MCMC yang dilaksanakan sepanjang 2025 ini,” menurut kenyataan itu. 

Penganjuran Kempen Internet Selamat peringkat Wilayah Selatan ialah hasil komitmen dan kerjasama erat Exco Kerajaan Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bersama dengan MCMC, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan sokongan padu kerajaan negeri dan agensi tempatan.

Berhubung penganjuran kempen berkenaan di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka, di sini hari ini, MCMC memaklumkan antara pengisian utama sepanjang program ialah Forum Kempen Internet Selamat bertajuk “Media Sosial: Cabaran Semasa, Solusi Bersama”, penyampaian modul kempen untuk murid berusia 10 hingga 12 tahun, Pelantikan Ikon K-DAT, zon interaktif dan reruai pameran.

Program hari ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran yang mewakili Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. 

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan, Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan Sharifudin Md Salleh dan Pengarah MMU Kampus Melaka Prof Dr Hishamuddin Ismail.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan