JENAYAH & MAHKAMAH

FELCRA Sedia Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM Berhubung Perolehan Ladang Sawit

14/12/2025 02:26 PM

MACHANG, 14 Dis (Bernama) -- FELCRA Berhad sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya siasatan dijalankan berhubung perolehan pajakan ladang sawit di Kelantan dan Sabah oleh syarikat itu.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata setakat ini, SPRM belum menghubunginya atau meminta sebarang penjelasan berhubung perkara berkenaan, namun beliau yakin badan itu akan menjalankan siasatan secara berhemah mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Saya melihat SPRM sebagai sebuah badan yang cukup berintegriti. Jika tiada kes yang memerlukan siasatan lebih jauh, barangkali ia akan dibuat pada peringkat pengurusan. Apapun, setiap perkara berkaitan pelaburan ini diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felcra.

“Namun, jika terdapat perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati atau keraguan, sudah tentu semua pihak akan dipanggil oleh SPRM untuk memberi penerangan dan penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Bukit Tiu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Jazlan menjelaskan penambahan aset dalam bentuk ladang, merupakan keputusan Lembaga Pengarah FELCRA menerusi Transformasi 1.0 yang diputuskan pada 2022, bagi memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat itu.

Beliau berkata kali terakhir FELCRA membuat perolehan atau pembelian ladang adalah pada sekitar 2013 dan menerusi transformasi itu.

“Namun kita sedar kekangan kewangan tidak memungkinkan penambahan seluas itu, memandangkan kedudukan kewangan FELCRA sendiri yang sedang ke arah pemulihan,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata setiap perolehan yang dibuat tidak melibatkan pinjaman daripada pihak bank atau kerajaan, sebaliknya menggunakan sumber dalaman atau perbelanjaan modal FELCRA Berhad hasil keuntungan dalam bidang komersial, setelah mengambil kira kesesuaian perbelanjaan.

Beliau berkata perolehan ladang yang dibuat, berdasarkan harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan kebanyakan pembelian dilakukan di bawah harga JPPH.

Pada 5 Dis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), berhubung jika terdapat kertas siasatan SPRM dibuka terhadap laporan Ketua Audit Negara berkenaan salah tabir urus FELCRA.

LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Julai lepas, mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan nilai keseluruhan projek diaudit mencecah RM48.87 bilion.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan