Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Atlet menembak berpengalaman negara Johnathan Wong berjaya mempertahankan pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini hari ini.
Pada saingan final di Lapangan Menembak Sports Authority of Thailand, ketenangan dan konsistensi ditampilkan Johnathan membolehkan atlet Olimpik negara itu mengumpul keseluruhan 237.8 mata, sekali gus mengulangi kejayaan meraih emas pada edisi 2021 di Vietnam.
Pingat perak menjadi milik penembak Filipina Michael Angelo Fernandes yang mengumpul 236.1 mata, manakala wakil Indonesia Sulthanul Aulia Maruf meraih gangsa dengan 231.1 mata.
Johnathan berkata meskipun berpuas hati dengan pencapaian tersebut, keutamaan beliau adalah untuk terus memberi motivasi dan inspirasi kepada rakan sepasukan serta seluruh kontinjen negara yang masih berjuang dalam temasya dwitahunan itu.
“Bagi saya, tidak kisah sama ada saya berjaya mempertahankan gelaran atau tidak. Saya bersyukur dan seronok dengan pertandingan ini, lebih-lebih lagi pulang dengan pingat
“Sudah tentu memenangi pingat sesuatu yang istimewa tetapi apa yang lebih penting pingat ini bukan untuk diri atau negara saya sahaja tetapi turut menjadi inspirasi kepada atlet lain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir di sini.
Beliau berkata barisan penembak negara mempunyai potensi besar dan sering mencatat keputusan yang baik ketika dalam sesi latihan.
“Ia hanya perlu diterjemahkan dalam pertandingan. Saya harap dengan memenangi pingat emas hari ini, ia akan memberi insiprasi kepada mereka untuk menyerlah pada saat paling diperlukan,” kata atlet kelahiran Melaka berusia 33 tahun itu.
Emas dimenangi Johnathan merupakan emas sulung daripada kem menembak pada edisi kali ini.
Selepas ini beliau akan turun beraksi dalam acara 10m air pistol berpasukan campuran dengan misi pasukan menaiki podium.
Sementara itu, trio Johnathan, Cheah Zen Hong dan Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza mengakhiri acara 10m air pistol berpasukan lelaki di kedudukan kelima selepas mengumpul 1,702 mata.
Trio Indonesia merangkul emas dengan rekod temasya baharu 1,736 mata sementara perak menjadi milik Vietnam yang mengumpul 1,717 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial