AM

Negara Perlu 70 Peratus Bidang Kerja STEM Untuk Jadi Negara Maju - MOSTI

14/12/2025 05:30 PM

KOTA BHARU, 14 Dis (Bernama) -- Negara perlu memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus peluang pekerjaan berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mencapai status negara maju, kata Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Abdullah Daud.

Beliau berkata keperluan itu menuntut peranan aktif MOSTI dalam memperkasa bidang STEM di semua peringkat masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu memastikan tujuh daripada 10 pekerjaan didominasi atau berasaskan STEM, terutamanya dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan sains,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi dan Digital (STI) MADANI 2025 di UTC Kelantan, di sini hari ini.

Abdullah berkata selaras dengan matlamat tersebut, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membudayakan STEM dalam kalangan masyarakat, termasuk penganjuran Karnival STI MADANI yang digerakkan ke seluruh negara sehingga ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata pelaksanaan program STI tahun ini turut dibuat mengikut kawasan Parlimen bagi memastikan pendedahan terhadap bidang STEM dapat disampaikan secara menyeluruh kepada golongan sasar tanpa keciciran, dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Abdullah berkata MOSTI juga melantik penyelidik dari Universiti Malaya bagi mengumpul data berkaitan kecenderungan dan minat pelajar terhadap bidang STEM menerusi pelaksanaan program STI.

“Kumpulan penyelidik ini telah mengeluarkan laporan interim yang mendapati beberapa negeri masih ketinggalan dari segi minat dan kecenderungan terhadap STEM, termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan