GUA MUSANG, 14 Dis (Bernama) -- Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengambil langkah proaktif menyelenggara pokok-pokok tua dan berisiko tumbang di laluan utama serta kawasan tumpuan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam khususnya ketika musim tengkujuh.
Yang Dipertua MDGM Mohd Roshdi Ismail berkata tindakan itu melibatkan kerja mencantas dan menebang pokok mengikut kesesuaian serta keadaan fizikal pokok, termasuk yang menjadi sebahagian daripada landskap keceriaan kawasan.
Beliau berkata setakat tahun ini, sembilan kali kerja penyelenggaraan pokok telah dilaksanakan melibatkan penyewaan jentera demi memastikan kawasan berisiko berada dalam keadaan selamat.
“MDGM mengambil langkah mencantas pokok yang terlalu rimbun hingga menghalang cahaya lampu dan boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, selain menimbulkan ketidakselesaan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Roshdi berkata penyelenggaraan pokok dilaksanakan secara harian dan bulanan, selain tindakan susulan berdasarkan aduan orang awam bagi mencegah kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Beliau berkata jadual penyelenggaraan ditetapkan sebanyak dua kali sebulan dan diperkukuh dengan pemantauan berkala, menjadikan keseluruhan 24 kali penyelenggaraan dilaksanakan dalam tempoh setahun.
“Kita akan terus menebang pokok yang dikenal pasti berisiko manakala penyelenggaraan berkala pula dilaksanakan mengikut keperluan dan keadaan pokok sebagai sebahagian daripada rutin MDGM,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial