AM

Wanita Didakwa Bersuami Dua: KPWKM Teliti Bantuan Boleh Disalurkan

14/12/2025 08:55 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan anak-anak susulan kes seorang wanita di Terengganu yang didakwa mempunyai dua suami.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu dengan segera bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan, khususnya bagi memastikan kebajikan anak-anak yang terlibat terus terpelihara.

Beliau berkata kes berkenaan kini sedang ditangani oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri berkenaan.

“Setakat ini, memandangkan saya baru tiba malam tadi dari Turkmenistan, saya masih belum menerima maklumat yang terperinci,” katanya selepas Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2026 di sini hari ini.

Nancy berkata pihak kementerian akan meneliti perkara itu sebaik menerima laporan lengkap bagi menentukan langkah yang boleh diambil untuk membantu anak-anak yang terlibat.

“Hal-hal berkaitan agama dan perundangan akan diserahkan kepada kementerian serta agensi berkaitan selaras dengan bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Terdahulu, media di Kelantan melaporkan seorang wanita membongkarkan perbuatan kakak iparnya yang didakwa berkahwin lagi di sempadan Thailand pada November lepas, walaupun masih sah bergelar seorang isteri.

Wanita berkenaan mendakwa abang kandungnya ditipu apabila mendapati isteri abangnya itu berkahwin dengan seorang lagi lelaki lebih setahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan