AM

Kampung Angkat MADANI: DOSM Laksana Tujuh Projek Di Sabak Bernam

15/12/2025 07:26 PM

SABAK BERNAM, 15 Dis (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaksanakan sebanyak tujuh projek penambahbaikan infrastruktur fizikal dan sosial di Kampung Baharu di sini menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata projek penambahbaikan terbabit melibatkan infrastruktur seperti balai raya, tanah perkuburan, masjid, premis perniagaan, Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu dan prasekolah. 

Beliau berkata ia antara lain merangkumi kerja-kerja pembaikan struktur bangunan, sistem elektrik dan kemudahan asas, perolehan peralatan pembelajaran dan kemudahan sokongan, penyediaan bilik pengurusan jenazah serta penyediaan kawasan permainan mesra kanak-kanak.

“Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan sepanjang empat hari pihak DOSM berada di sini bagi menjayakan majlis perasmian ini. Antaranya program sukan seperti, FitDOSM, pertandingan bola sepak, pertandingan memasak dan gubahan, pertandingan memancing, aktiviti gotong-royong dan rewang serta ceramah agama. 

“Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh semangat kerjasama, meningkatkan penglibatan komuniti serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian dan penyerahan projek fizikal Kampung Angkat MADANI DOSM Balai Raya Kampung Baharu, di sini hari ini. 

Mohd Uzir berkata DOSM juga memainkan peranan dengan bertemu sendiri peniaga dan penjual di sekitar Sungai Besar untuk memberikan pemahaman mengenai kepentingan data dalam menguruskan perniagaan. 

Beliau berkata sebagai agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab memungut, mentafsir dan menyebar perangkaan rasmi negara bagi memantau prestasi ekonomi serta pembangunan sosial, DOSM menyokong pembangunan Kampung Baharu melalui pendekatan berpandukan data.

"DOSM komited memperkukuh literasi statistik dalam kalangan komuniti melalui program dan aktiviti kesedaran, termasuk bimbingan penggunaan data bagi perniagaan kecil serta pertanian pintar, ke arah melahirkan masyarakat yang celik data dan mampu membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat.

“Sebuah negara yang nak maju ke hadapan masyarakatnya perlu pandai menggunakan statistik kerana ia akan memberikan sesiapa sahaja keupayaan dan kebijaksanaan untuk membuat sesuatu keputusan kerana ia mampu membenarkan kita untuk menguruskan sumber dengan baik,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata DOSM turut melaksanakan Projek Digitalisasi Sekolah Pintar bagi Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Sungai Besar menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI. 

Katanya, projek berkenaan merangkumi naik taraf dan pembangunan pusat sumber digital dan keperluan untuk makmal komputer melalui peruntukan yang telah diluluskan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan