PONTIAN, 15 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengesahkan seorang daripada tiga kakitangan kontraktor yang cedera dalam insiden kren runtuh di jeti Kompleks Tanjung Bin, di sini pada Sabtu telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala dua lagi masih dirawat.
Malakoff dalam kenyataan memaklumkan pihaknya amat berdukacita apabila dua mangsa terkorban dalam insiden 13 Dis itu dan mengucapkan takziah serta akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada ahli keluarga terlibat.
“Daripada tiga kakitangan kontraktor yang cedera, seorang daripadanya telah dibenarkan pulang, manakala dua lagi masih dirawat di hospital dan kami terus memantau rapi keadaan mereka," menurut kenyataan itu hari ini.
Malakoff memaklumkan siasatan dalaman insiden berkenaan sedang dijalankan dan syarikat itu bekerjasama rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan punca insiden tersebut.
"Operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin diteruskan seperti biasa dan keselamatan serta integriti operasi kami kekal menjadi keutamaan," katanya.
Menurut Malakoff syarikat itu komited memastikan aspek ketelusan sepanjang proses itu dan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.
Dua pekerja kontraktor maut manakala tiga yang lain cedera apabila sebuah kren runtuh di kawasan jeti Kompleks Tanjung Bin, Kukup, di sini Sabtu lepas dan susulan itu, kerajaan mahu siasatan telus dan menyeluruh dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial