Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Ekonomi gig Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih baik pada 2025 berbanding 2024, dipacu oleh momentum ekonomi yang positif dan pendekatan dasar yang menyokong, namun kemuncaknya tidak dapat dinafikan lagi iaitu kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025.
Dengan perkembangan ini, Malaysia mungkin menyaksikan ekonomi gig berkembang lebih jauh selain berpotensi memperluaskan perkhidmatan seperti perkhidmatan pengangkutan khusus untuk wanita dan pilihan untuk kawasan luar bandar.
Terdapat juga harapan supaya pekerjaan bukan platform pekerja gig seperti pengasuh, penterjemah, pemuzik dan jurugambar, tidak dikecualikan daripada perlindungan yang disediakan di bawah RUU berkenaan.
Satu pencapaian dasar yang penting, RUU ini secara rasmi mengiktiraf dan memberikan lebih banyak perlindungan kepada 1.2 juta pekerja gig yang tidak dapat dinafikan kemunculan mereka sebagai sebahagian daripada ekonomi yang sangat penting.
Malaysia kini berada dalam kalangan beberapa negara yang mempunyai undang-undang yang direka khusus untuk pekerja gig.
Sebaik sahaja digubal, undang-undang ini akan mewajibkan kontrak bertulis selain mencipta mekanisme penyelesaian pertikaian dan meningkatkan akses kepada perlindungan sosial.
Ini akan memberikan perlindungan kepada pekerja melalui Belanjawan 2025 yang kini menikmati sokongan terutamanya untuk pekerja gig melalui skim keselamatan sosial, program latihan dan pembaharuan platform.
Diluluskan di Parlimen pada Ogos 2025, undang-undang ini juga membuka jalan untuk penubuhan tribunal dan majlis perundingan gaji, perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperluas.
Selain itu di bawah undang-undang berkenaan, caruman bersepadu ke dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan denda dikenakan bagi ketidakpatuhan.
Faktor utama yang memacu peningkatan sektor ini termasuk kejelasan undang-undang yang lebih kukuh selain inisiatif peningkatan kemahiran yang diperluas melalui MYFutureJobs, Tenaga Kerja Dalam Talian Global Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), GiatMARA serta keterangkuman kewangan melalui dokumentasi pendapatan.
Walaupun pasaran menyaksikan penghasilan platform seperti inDrive dan Maxim, ekosistem gig kekal kukuh dengan pengembangan Bolt di seluruh negara yang membantu mengekalkan persaingan, menyokong kestabilan dan memberi sumbangan positif kepada penciptaan pekerjaan.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan perintah pemberhentian operasi kepada inDrive dan Maxim pada Mei 2025 dengan alasan ketidakpatuhan terhadap keperluan pelesenan.
Hal ini berikutan ramai pemandu mereka didapati beroperasi tanpa permit kenderaan e-Panggilan yang sah dan lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sepatutnya.
Perintah tersebut berkuat kuasa pada 24 Julai, 2025.
Namun, pada tarikh tersebut, inDrive dan Maxim dibenarkan untuk menyambung operasi di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan oleh APAD.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonometrik dan Statistik Perniagaan di School of Business, Monash University Malaysia Dr Nur Syazwani Mazlan percaya bahawa impak paling ketara RUU Pekerja Gig adalah dalam mengurangkan amalan berat sebelah, menambah baik keterangkuman kewangan dan memastikan keadaan kerja yang lebih selamat.
"Cabaran juga terletak pada keupayaan pelaksanaan dan memastikan pekerjaan bukan platform pekerja gig (seperti pengasuh, penterjemah, pemuzik, jurugambar) tidak dikecualikan," katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia Jose Rizal berkata kejelasan pengawalseliaan yang lebih kukuh, penguatkuasaan yang tegas dan keyakinan pelabur yang mantap terbukti melalui pengembangan platform yang berterusan di Malaysia selain membentuk prestasi ekonomi gig tahun ini.
Beliau melihat 2025 sebagai tahun penyatuan selain berlaku gangguan dalam landskap e-Panggilan dan penghantaran.
Katanya, penggantungan serta penelitian pengawalseliaan terhadap platform seperti inDrive dan Maxim menekankan komitmen kerajaan yang baik bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang Malaysia.
"Langkah ini, walaupun mencabar dalam jangka pendek bagi pekerja yang terjejas, akhirnya menggalakkan ekosistem yang lebih stabil dan bertanggungjawab.
"Sebaliknya, pengembangan Bolt di seluruh negara menandakan keyakinan semula terhadap pasaran mobiliti Malaysia dan menunjukkan bahawa pemain yang patuh serta teratur boleh berkembang dengan baik serta memberi sumbangan positif kepada penciptaan pekerjaan," katanya.
Nur Syazwani turut menekankan iaitu pengembangan Bolt di seluruh negara pada 2025 menunjukkan keyakinan terhadap persekitaran pengawalseliaan Malaysia manakala penamatan platform lain mengetengahkan mengenai tekanan pematuhan yang semakin meningkat.
"Melangkah ke hadapan, lebih banyak platform e-Panggilan mungkin akan memasuki pasaran pada 2026 terutamanya model-model khusus (perkhidmatan pengangkutan khusus wanita dan perkhidmatan untuk kawasan luar bandar), walaupun kos pematuhan mungkin menghalang penyertaan pemain yang lebih kecil.
Beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memajukan 12 Keberhasilan Utama Ekonomi dengan memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi digital dan kemampanan.
Beliau turut menekankan mengenai inisiatif utama termasuk pembangunan rangka kerja pengiktirafan kemahiran yang menyasarkan pensijilan mudah alih bagi pekerja gig di seluruh ASEAN serta usaha untuk kebolehkendalian pembayaran seperti menghubungkan dompet elektronik dan sistem pengiriman wang untuk menyokong aliran pendapatan pelbagai platform bagi pekerja gig.
"Inisiatif-inisiatif ini meletakkan Malaysia sebagai penanda aras bagi perundangan ekonomi gig yang progresif dan keterangkuman digital serantau," katanya.
Prospek 2026
Menurut Nur Syazwani, ekonomi gig Malaysia pada 2026 dijangka berkembang pada kadar yang lebih stabil, disokong oleh pelaksanaan penuh Akta Pekerja Gig 2025 dan diperkukuhkan lagi dengan peruntukan di bawah Belanjawan 2026.
Beliau berkata penubuhan tribunal dan majlis perundingan gaji akan memberi pekerja saluran yang lebih jelas bagi penyelesaian pertikaian dan penetapan gaji yang lebih adil.
Perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga dijangka berkembang melalui latihan keselamatan yang dipertingkatkan, saringan kesihatan dan insurans bersubsidi untuk tugas berisiko tinggi seperti penghantar barang.
"Belanjawan 2026 juga memberi penekanan yang kukuh terhadap penyertaan pekerjaan bukan platform pekerja gig seperti pengasuh, penterjemah, pemuzik dan profesional bebas bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada perlindungan formal.
"Pengenalan pengesahan pendapatan secara rasmi melalui slip pendapatan yang standard akan meningkatkan akses kewangan, membolehkan pekerja gig layak untuk mendapatkan pinjaman mikro, insurans, dan sokongan perumahan," katanya.
Namun, Jose berkata pandangan terhadap ekonomi gig Malaysia pada tahun hadapan kekal optimis dan berhati-hati dengan menyatakan bahawa penguatkuasaan yang tepat pada masanya terhadap Akta Pekerja Gig dan peraturan sokongan oleh Perkeso, APAD dan Kementerian Sumber Manusia akan menjadi penentu utama dalam kemajuan.
"Kami menjangkakan persaingan yang lebih berstruktur antara platform dengan pematuhan dan kebajikan pekerja muncul sebagai pembeza teras.
"Seiring dengan kematangan sektor ini, Malaysia juga dijangka menarik pemain baharu dan inovatif terutamanya bagi pihak yang mampu memenuhi keperluan pengawal selia dan melabur dalam penyelesaian yang dipacu oleh teknologi," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial