AM

Angkat Sumpah Menteri, Timbalan Kabinet Kerajaan MADANI Esok - PM Anwar

16/12/2025 05:45 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan MADANI akan diadakan di Istana Negara esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan untuk acara angkat sumpah diadakan pada 10 pagi. 

“Mesyuarat Jemaah Menteri pula akan diteruskan pada 2.30 petang esok,” katanya dalam sidang media pengumuman anggota Kabinet Kerajaan MADANI, di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, merakamkan penghargaan kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang menyumbang bakti dalam Kabinet Kerajaan MADANI sebelum ini.

“Penghargaan kepada rakan-rakan menteri dan timbalan menteri yang telah menyumbangkan tenaga bakti melalui kementerian dan kepada negara sebelum ini,” katanya. 

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio dalam Kabinet Kerajaan MADANI.

Beliau berkata pelantikan dan rombakan itu dilaksanakan bagi menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

Rombakan Kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

Sebelum ini, Kabinet Kerajaan MADANI menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang kosong susulan peletakan jawatan mereka. 

Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kosong selepas beliau tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan