AM

Rombakan Kabinet Cermin Hasrat Kerajaan MADANI Perkukuh Perpaduan Nasional - Ahli Akademik

16/12/2025 08:55 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan hasrat Kerajaan MADANI untuk terus memantapkan kekuatan perpaduan nasional dalam mendepani cabaran semasa negara, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata pelantikan barisan muka baharu termasuk pengisian jawatan menteri dari Sabah dan Sarawak turut memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh representasi wilayah serta memastikan suara semua komponen Persekutuan diangkat dalam pentadbiran negara.

“Langkah ini bukan sahaja menyegarkan barisan Kabinet, malah turut memberikan isyarat jelas bahawa Kerajaan MADANI mengambil serius keperluan memperkukuh perpaduan nasional melalui keterangkuman wilayah, khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Anwar turut mengumumkan enam timbalan menteri dan beberapa pertukaran portfolio termasuk pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustafa Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Mohd Azizuddin berkata pelantikan barisan muka baharu termasuk pengisian jawatan menteri dari Sabah dan Sarawak memberikan isyarat jelas bahawa kerajaan mengambil kira kepentingan keterangkuman wilayah dalam pembentukan dasar serta hala tuju pentadbiran negara.

Beliau berpandangan pewujudan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) secara khusus mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan strategik kedua-dua wilayah itu dalam Persekutuan, selain mengukuhkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.

“Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) mencerminkan penghargaan besar kerajaan, manakala pertukaran portfolio pula memberikan ruang kepada idea dan pendekatan baharu yang dapat memantapkan agenda Kerajaan MADANI, di samping membuka peluang kepada muka baharu memperoleh pengalaman serta persediaan kepimpinan menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata pertukaran portfolio dalam kalangan menteri Kabinet turut membuka ruang penilaian semula keupayaan kepimpinan, selain memberikan peluang kepada menteri untuk memanfaatkan kepakaran masing-masing secara lebih berkesan selaras dengan keperluan semasa pentadbiran.

Dalam masa sama, Mohd Azizuddin berharap barisan Kabinet baharu, khususnya mereka yang terlibat dengan pertukaran portfolio dan pelantikan muka baharu, dapat memperkukuh tadbir urus kerajaan, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta merancakkan usaha menarik pelaburan asing berkualiti tinggi.

“Peningkatan aliran pelaburan asing penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan,” katanya.

Mengulas dari sudut politik, beliau berpendapat rombakan berkenaan turut dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam memastikan kesiapsiagaan pentadbiran menjelang fasa penggal pemerintahan yang seterusnya, termasuk menghadapi cabaran politik dan ekonomi global yang semakin kompleks.

Beliau tidak menolak kemungkinan rombakan itu ialah rombakan terakhir Kerajaan MADANI, yang dilihat mempunyai matlamat jelas dan tersusun, bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan menteri, sebaliknya untuk memperkukuh kestabilan, keberkesanan tadbir urus dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Rombakan Kabinet yang pertama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan