KOTA BHARU, 16 Dis (Bernama) --Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah selepas merampas 10.4 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM374,400 dalam operasi bersepadu di Jalan Lubok Seto dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan hasil kerjasama Batalion 9 PGA dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Beliau berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 11 malam selepas pasukan Strike Force menumpu pemerhatian terhadap seorang lelaki yang kelihatan mencurigakan sambil membimbit sebuah beg biru di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan, pihak kami menemukan 10.4kg bunga ganja. Suspek ditahan dan dibawa ke Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Suspek berusia 40 tahun berasal dari Seri Kembangan, Selangor, didapati positif Methamphetamine melalui ujian air kencing. Kes disiasat mengikut Seksyen 29B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ahmad Radzi berkata rampasan dan suspek telah diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial