AM

Lantikan Hannah Yeoh Tidak Jejas Agenda Melayu Di Wilayah Persekutuan - Ahmad Zahid

18/12/2025 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalannya tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik Hannah dan Lo menerajui portfolio itu.

“Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.

“Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun Hannah merupakan wakil DAP, prestasi beliau semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pelantikan Hannah, dan Lo yang mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga katanya, mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Ahmad Zahid turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri termasuk beliau sendiri, akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan bahawa agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.

Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Lo yang merupakan muka baharu dilantik sebagai timbalannya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan