AM

Operasi Pengurusan Banjir Di Pahang Lancar, Terkawal - MB

18/12/2025 03:56 PM

KUANTAN, 18 Dis (Bernama) -- Operasi pengurusan banjir di Pahang setakat ini berjalan lancar dan terkawal walaupun merekodkan peningkatan jumlah mangsa, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata pihak berkaitan setakat ini telah melaksanakan operasi dan pengagihan bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan baik dan teratur bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga. 

“Saya nampak semuanya terkawal namun dari segi penyediaan makanan saya tak nafikan mungkin ada sedikit kelewatan kerana faktor hujan dan kalau berlaku pun mungkin dalam satu jam, itu adalah perkara yang tidak dapat dielakkan, yang pasti makanan ada dan sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Jaya Gading di sini hari ini, yang menempatkan 148 penduduk daripada 58 keluarga. 

Sementara itu, Wan Rosdy menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan informasi tidak sahih yang boleh meresahkan keluarga mangsa yang berada di luar kawasan banjir.

“Kita sepatutnya memberikan kata-kata semangat bukan menularkan perkara yang tidak mendatangkan faedah dan mungkin mewujudkan keadaan yang tidak harmoni,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak pulang ke rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing.

“Trend (banjir) ketika ini saya dapati menaik tetapi dengan kadar yang agak perlahan kita doakan supaya hujan cepat berhenti dan keadaan banjir segera pulih,” katanya.

Menurut Infobencana JKM, 10,478 mangsa daripada 3,477 keluarga ditempatkan di 77 PPS di Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Jerantut setakat 2 petang ini. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan