AM

Anggota Bomba Turun 22 Kilogram Untuk Kekal Cergas Dalam Tugas

18/12/2025 03:31 PM

BATU KAWAN, 18 Dis (Bernama) -- Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Mohd Irfan Abdul Kholik nekad menurunkan berat badan selepas menyedari dirinya cepat letih dan mengah ketika bertugas.

Mohd Irfan, 29, berkata mempunyai berat badan 93 kilogram (kg) sebelum berjaya menurunkan 22.2 kg sekali gus muncul juara Program Penurunan Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFITER) 2025 walaupun menyertainya lewat dua bulan berbanding rakan lain. 

“Amat penting untuk anggota bomba mengekalkan kecergasan kerana ada masanya tugasan operasi memerlukan mengangkat beban berat atau masuk kawasan sempit. Semua itu memerlukan kekuatan fizikal dan stamina. Jika tidak cergas sudah tentu cepat penat dan mengah.

“Sebelum ini saya berasa badan terlalu berat serta cepat letih ketika bertugas. Ketua balai turut sedar perubahan fizikal dan menasihatkan untuk menurunkan berat. Saya malu kerana masih muda dan program ini membantu saya untuk lebih berdisiplin,” katanya. 

Mohd Irfan ditemui pada Majlis Penutupan IFITER dan Program Jom Sihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang 2025 di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang di sini hari ini.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Fazilah Allaudin merasmikan majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Mohamad Shoki Hamzah.

Selain mengamalkan pemakanan seimbang, Mohd Irfan berkata tidak menggunakan gula dalam minuman dan bersenam untuk menurunkan berat badan, yang diharapkan menjadi motivasi kepada rakan sekerja untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

Sementara itu, Mohamad Shoki berkata sebanyak 43 pegawai dan anggota menyertai program selama enam bulan yang dilaksanakan melalui dua fasa dari 26 Jun hingga 4 Dis, dengan 81.4 peratus peserta berjaya menurunkan berat badan, iaitu melebihi sasaran 80 peratus ditetapkan pengurusan tertinggi.

“Daripada keseluruhan peserta yang kekal hingga tamat program, lapan mengekalkan berat asal dan selebihnya menunjukkan penurunan dengan dua mencapai penurunan ketara iaitu 10 hingga 14.9 kg dan dua lagi melebihi 15 kg manakala tiada peserta naik berat badan,” katanya. 

Mohamad Shoki berkata program anjuran JBPM Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang melalui Wellnes Hub Daerah Seberang Perai Tengah itu memberi kesan positif terhadap pengurusan berat badan peserta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan