AM

Malaysia Tunggu Maklum Balas Arab Saudi Kuota Tambahan Haji 2026

18/12/2025 04:11 PM

NILAI, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia masih menunggu maklum balas Arab Saudi berhubung permohonan tambahan kuota haji bagi tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata keputusan penambahan kuota itu adalah kuasa mutlak kerajaan Arab Saudi dan berharap permohonan berkenaan diluluskan.

“Setakat ini, belum (ada maklum balas) dan jangkaan pun kita tak pasti (tempoh terima kelulusan), kita doakan dapat, apa yang kita boleh jamin setiap kuota yang akan diberikan itu kita penuhi 100 peratus termasuk kuota tambahan sekiranya diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Jenayah Syariah Dalam Kalangan Belia anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menjangkakan bilangan jemaah haji negara akan bertambah pada masa hadapan berbanding kuota 31,600 diberikan Arab Saudi ketika ini, dan Malaysia juga sudah memohon kuota tambahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pengurangan penangguhan tawaran diterima bakal jemaah haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji 2026 kepada 18 peratus disebabkan pelbagai inisiatif dilakukan TH termasuk pemakluman lebih awal. 

Beliau berkata ia membolehkan pendeposit memastikan jumlah simpanan mencukupi serta memberikan penekanan terhadap penjagaan kesihatan, selain menyediakan bimbingan berkaitan persiapan haji serta membuat kemas kini berkala kepada mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan