AM

Fiberisasi Cyberjaya Langkah Awal Bina Selangor Dark Fiber Network - Amirudin

18/12/2025 04:19 PM

SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor memulakan langkah strategik memperkukuh asas infrastruktur digital negeri menerusi pelaksanaan Projek Fiberisasi-Cyberjaya yang disifatkan sebagai keperluan asas setara dengan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek gentian optik bawah tanah berkapasiti tinggi sepanjang 41.1 kilometer (km) di Cyberjaya itu diterajui oleh SmartSel Sdn Bhd (SmartSel), syarikat infrastruktur digital milik kerajaan negeri, dengan kerjasama OCK Group Berhad (OCK) selaku pelaksana pembangunan.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan fasa awal pembentukan Selangor Dark Fiber Network, iaitu rangkaian gentian optik milik negeri sepanjang 889 km yang bersifat terbuka, neutral dan berkelajuan tinggi.

“Projek fiberisasi ini merupakan keperluan masa kini dan hadapan bagi menyediakan asas infrastruktur digital yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital, termasuk pembangunan pusat data, sektor perkilangan dan industri berasaskan data serta pelaburan bernilai tinggi.

“Oleh itu, kita memberikan tumpuan membina ‘tulang belakang’ digital negeri dan sebagai projek perintis, inisiatif ini akan menjadi asas kepada pembangunan Selangor Dark Fiber Network yang lebih strategik, inklusif dan berorientasikan kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Fiberisasi-Cyberjaya serta pemeteraian Rangka Kerja Perikatan Perniagaan antara SmartSel dan OCK, selain memorandum perjanjian bersama anak syarikat OCK, iaitu OCK Datawave Sdn Bhd, bagi pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik di Cyberjaya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M. Yusop, Pengerusi Bukan Eksekutif OCK Group Berhad Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Kumpulan OCK Group Berhad Datuk Sam Ooi Chin Khoon.

Amirudin berkata pembangunan infrastruktur gentian optik berkapasiti tinggi itu selaras dengan aspirasi Selangor sebagai Smart State dan hab digital serantau.

Pada sidang media selepas majlis itu, beliau berkata Projek Fiberisasi-Cyberjaya dijangka siap dalam tempoh enam bulan sebelum diperluaskan ke lokasi seterusnya, bermula di Shah Alam melibatkan jajaran sejauh 178 km.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan jaringan fiberisasi komunikasi sepanjang 889 km siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata pelaksanaan jaringan berkenaan akan memastikan infrastruktur digital negeri berada pada tahap optimum dan berfungsi sebagai tulang belakang kukuh kepada pembangunan negeri pintar.

“Jika semuanya dapat dihubungkan, bermakna infrastruktur digital kita sudah lengkap dan kukuh. 

"Untuk menjadi sebuah smart state atau smart city, faktor paling penting ialah keterhubungan Internet, khususnya melalui fiberisasi dan kepantasan,” katanya.

Amirudin berkata keseluruhan projek itu dianggarkan melibatkan kos antara RM500 juta hingga RM800 juta menerusi kerjasama strategik dengan syarikat swasta, selain sokongan pendanaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mengulas kebimbangan terhadap kerja-kerja pengorekan, beliau berkata proses itu tidak dapat dielakkan, namun kerajaan negeri akan meminimumkan gangguan dengan memanfaatkan jajaran sedia ada seperti rel, lebuh raya serta laluan paip air dan elektrik.

Beliau berkata beberapa syarikat utiliti juga mempunyai infrastruktur gentian optik sendiri untuk kegunaan dalaman, dan kerjasama dengan kerajaan negeri akan memudahkan penggunaan jajaran berkenaan memandangkan sebahagian tanah terlibat adalah milik negeri.

“Dalam hal ini, SmartSel telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pelaksanaan projek ini secara menyeluruh, sama ada mengikut kawasan atau secara berperingkat,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan