AM

Tiada Kenaikan Tol Bagi 10 Konsesi Lebuh Raya Pada 2026 - Fahmi

18/12/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah memutuskan tiada kenaikan tol bagi 10 konsesi lebuh raya untuk 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata walaupun perkara itu akan mendatangkan kesan implikasi kewangan kepada kerajaan, namun jumlah itu akan ditanggung kerajaan.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Kementerian Kerja Raya kelak,” katanya pada sidang media mingguan di Kompleks Angkasapuri, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan keperluan mempercepat kerja-kerja menyiapkan dan menyediakan peralatan perubatan untuk pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

“Semalam kita ada membaca laporan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang berhasrat untuk menyalurkan sejumlah dana bagi melengkapkan perolehan beberapa peralatan khusus untuk Pusat Kanser Sarawak.

“Jadi pada peringkat Kerajaan Persekutuan, beberapa perkara Perdana Menteri telah minta supaya disusuli dengan mempercepat proses menyegerakan penyiapan Pusat Kanser Sarawak,” katanya.

Semalam, Abang Johari dipetik berkata kerajaan Sarawak bersetuju menambah peruntukan RM500 juta bagi pembelian peralatan perubatan untuk pembinaan Pusat Kanser Sarawak, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan projek itu mencecah RM1.5 bilion.

Pada 30 Mac 2024, Anwar mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.

Melalui projek itu, kerajaan Sarawak mencipta sejarah sebagai kerajaan negeri pertama yang mendahulukan dana bagi projek Persekutuan bagi mempercepat pelaksanaannya.

Sementara itu mengulas perkembangan banjir, Fahmi berkata orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi dan sentiasa mengambil tahu akan amaran cuaca serta perkembangan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mesyuarat Kabinet semalam, telah memberi peringatan bahawa luruan keempat bagi Monsun Timur Laut kali ini dijangka akan berterusan angin dan hujan lebat sehingga Mac 2026. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan