AM

Cadangan Naikkan Bantuan Wang Ihsan Akan Dibawa Ke Kabinet - Ahmad Zahid

18/12/2025 06:50 PM

KUANTAN, 18 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan membawa cadangan menaikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa bencana di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang. 

Beliau berkata usaha itu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana, antaranya mangsa banjir berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Baru sahaja naik daripada RM500 kepada RM1,000, tetapi saya akan bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dapat kelulusan dengan jumlah kenaikkan bergantung kepada kemampuan kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Ahmad Zahid berkata usaha berkenaan selari dengan keperluan semasa, bagi memastikan kebajikan mangsa bencana terus terpelihara, terutama melibatkan keperluan asas dan pemulihan pascabencana.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini memaklumkan bahawa BWI sebanyak RM1,000 diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat bencana.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menyalurkan BWI kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berdaftar di seluruh negara, sebelum mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. 

“Mengikut peraturan lama, mereka hanya mendapat bayaran tiga hari selepas PPS itu dikosongkan,” katanya yang memaklumkan penambahbaikan insiatif itu, hasil keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kerajaan juga telah menyalurkan BWI sebanyak 77 peratus yang melibatkan 47,000 KIR di seluruh negara, manakala bakinya akan diselesaikan melalui NADMA.

Selain itu, beliau berkata hujan lebat ketika gelombang kedua musim MTL 2025-2026 yang melanda negara, akan berada tahap lima hingga tujuh kali ganda lebih besar berbanding gelombang pertama.

“Kita harap untuk gelombang luruan hujan yang akan datang ini, saya minta kerjasama daripada rakyat terutamanya kawasan yang telah dikenal pasti dilanda banjir ini, dapat mengikut semua arahan yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Jawatankuasa Bencana Negeri,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan sekiranya PPS melebihi daripada kapasiti, beliau berkata pihaknya memberi kelonggaran kepada kerajaan negeri untuk mencari tempat yang bersesuaian seperti dewan atau sekolah untuk dijadikan PPS.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pendidikan Daerah untuk melakukan penyelarasan. Kalau ada jumlah (mangsa) yang lebih maka kita cari jalan untuk dipindahkan, kalau mereka nak berada di sini dan merasakan selesa di sini, kita akan ikuti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan