AM

Pulau Silikon: Bantuan Bot Kepada 294 Nelayan Selesai Suku Pertama 2027

18/12/2025 09:07 PM

GEORGE TOWN, 18 Dis (Bernama) -- Proses penyerahan bantuan bot dan enjin kepada 294 nelayan yang layak di kawasan projek Pulau Silikon di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama 2027.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata hingga hari ini sebanyak 127 nelayan yang kawasan tangkapan ikan mereka terlibat sepenuhnya dengan projek Pulau Silikon telah menerima bantuan berkenaan.

Abdul Hamid yang juga Pengerusi Jawatatankuasa Taskforce Nelayan berkata kerajaan negeri kekal komited melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah SIMP bagi menjamin kebajikan dan masa hadapan komuniti nelayan, khususnya di kawasan selatan Pulau Pinang. 

"Antara inisiatif utama SIMP termasuk bayaran ex gratia, pemberian bot dan enjin baharu, pembinaan bangsal nelayan, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta bantuan pendidikan kepada anak-anak nelayan. 

“Setakat ini, sebanyak 127 nelayan Tahap Satu telah menerima bantuan bot dan enjin baharu termasuk enam penerima pada hari ini, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan mencecah RM10.58 juta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu, Mohamad menghadiri majlis penyerahan bot dan enjin baharu, pengiktirafan kecemerlangan akademik anak-anak nelayan serta sumbangan bakul makanan sempena sambutan Hari Natal kepada keluarga nelayan terpilih di Teluk Kumbar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus.

Mohamad berkata sehingga kini bayaran ex gratia berjumlah RM11.8 juta turut disalurkan kepada 795 nelayan yang layak, manakala 60 unit bangsal nelayan telah dirancang untuk pembinaan semula secara berfasa. 

Beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM615,000 bagi bantuan pendidikan kepada anak-anak nelayan terutama mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

"Selain nelayan yang layak menerima bantuan bot dan enjin, kami juga menerima permohonan rayuan daripada nelayan. Setakat ini 15 rayuan diterima serta proses rayuan masih berjalan," katanya.

Sementara itu, Farizan berkata aspek pendidikan kekal sebagai teras utama SIMP susulan kesan pandemik COVID-19 yang menjejaskan penguasaan asas 3M dalam kalangan murid di selatan Pulau Pinang.

Farizan berkataa sejak tiga tahun lalu, kelas pemulihan 3M dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah Barat Daya, memanfaatkan 240 murid.

"Menerusi Program Jaya Didik, sebanyak 71 anak nelayan menerima pembiayaan yuran tuisyen, manakala 259 pelajar sekolah menengah menyertai Program Pendidikan Hibrid anjuran USAINS Holdings," katanya.

Beliau berkata  ibu bapa turut dibekalkan ilmu keibubapaan melalui bengkel sokongan, manakala 65 pelajar ditaja menyertai program STEM bagi melahirkan generasi celik sains dan teknologi. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan