GEORGE TOWN, 18 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mahu lebih banyak koperasi berkualiti dalam kalangan belia ditubuhkan pada tahun depan dalam usaha memperkasakan penglibatan golongan muda dalam sektor koperasi negara.
Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata ketika ini, jumlah koperasi belia masih rendah berbanding keseluruhan koperasi di Malaysia, justeru langkah agresif perlu diambil untuk menjadikan koperasi sebagai arus perdana dalam kalangan belia.
"Kita di SKM tidak hanya menekankan peningkatan jumlah semata-mata, sebaliknya memberikan keutamaan kepada aspek kualiti dan tadbir urus, sasaran dari segi angka itu subjektif, malah dalam KPI (petunjuk prestasi utama) saya, saya mahukan koperasi yang berkualiti.
"Ketika ini, terdapat 207 koperasi belia di seluruh negara dengan keanggotaan kira-kira 87,000 orang berbanding keseluruhan 16,284 koperasi yang berdaftar dan angka itu (koperasi belia) masih kecil serta menunjukkan keperluan mendesak untuk kita memperkasakan belia kerana merekalah masa depan gerakan koperasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Laman Tunas Coop City Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad yang turut dihadiri Pengerusi koperasi berkenaan Datuk Suhaimi Abdul Jalil.
Ahmad Norihan berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 400 koperasi belia menjelang tahun depan dan sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya memberikan keutamaan kepada kualiti dan tadbir urus yang baik, malah benar-benar memberikan manfaat kepada belia.
Katanya, berdasarkan pemantauan antara faktor kurangnya penyertaan belia dalam koperasi ialah pendedahan yang terhad, promosi yang tidak menyeluruh dan kekeliruan belia dalam menentukan hala tuju ekonomi serta kerjaya mereka.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata SKM akan mempergiatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Belia Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri serta agensi dan kementerian berkaitan bagi menarik lebih ramai belia menyertai koperasi.
''Usaha ini memerlukan kebersamaan semua pihak, bukan hanya SKM di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), tetapi juga agensi lain agar koperasi kembali menjadi platform ekonomi yang relevan kepada generasi muda," katanya dan menambah belia bukan sekadar pelengkap, sebaliknya enjin utama kepada kelestarian koperasi.
Mengulas perkembangan keseluruhan sektor koperasi di Malaysia, Ahmad Norihan berkata ketika ini, 60 hingga 65 peratus koperasi di negara ini masih aktif, manakala baki selebihnya dikenal pasti sebagai tidak aktif.
Ahmad Norihan berkata jumlah aset koperasi di Malaysia kini melebihi RM173.4 juta dan perolehan dianggarkan RM68 juta pada tahun lepas sekali gus membuktikan potensi besar koperasi sebagai antara penjana ekonomi negara.
Sementara itu, mengulas tentang program hari ini, Ahmad Norihan berkata Coop City merupakan bandar koperasi yang pertama di Malaysia yang dibangunkan di kawasan seluas 42.49 hektar dan merangkumi komponen komersial, kediaman dan kemudahan masyarakat.
Sejak penubuhan, Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad telah berjaya melaksanakan pembangunan dengan nilai kumulatif melebihi RM2 bilion, sekali gus menjadikan Coop City sebagai model pembangunan bandar koperasi mampan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial