EKONOMI

Untung Bersih Suku Ketiga AEON Credit Naik Kepada RM91.8 Juta

18/12/2025 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Keuntungan bersih AEON Credit Service (M) Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Nov, 2025 melonjak kepada RM91.80 juta daripada RM62.07 juta sebelum itu.

Hasil bagi suku dalam kajian turut meningkat kepada RM622.40 juta daripada RM561.99 juta tahun lepas atau menokok 10.75 peratus, didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam pinjaman dan pembiayaan.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih kumpulan berkembang kepada RM241.58 juta daripada RM239.64 juta, manakala hasil meningkat kepada RM1.84 bilion berbanding RM1.62 bilion sebelum ini.

AEON Credit berkata kumpulan mengekalkan pendekatan perniagaan berhati-hati berikutan dasar perdagangan dan tarif global yang sedang dilaksanakan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global.

Katanya kumpulan akan terus mengamalkan pengurusan berhemat dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan aset berkualiti, selain memantau secara dekat risiko kredit sedia ada dalam portfolio pembiayaannya.

“Kumpulan juga akan terus mempertingkatkan keupayaan teknologi maklumat bagi meningkatkan kecekapan operasi, di samping membina ekosistem melibatkan syarikat-syarikat kumpulan AEON yang beroperasi di Malaysia untuk memperluas jangkauan pelanggan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangkaan, kumpulan menjangkakan dapat mengekalkan momentum perniagaannya melalui pelaksanaan langkah-langkah yang bersesuaian bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan