AM

Pascabanjir: Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Perjalanan Ke Hat Yai

18/12/2025 10:43 PM

KANGAR, 18 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang ingin melawat bandar Hat Yai dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga proses pembersihan pascabanjir di Wilayah Songkhla selesai serta premis makanan dan pusat tumpuan pelancong dibuka semula sepenuhnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pada masa ini proses pembersihan kesan banjir masih dijalankan dan terdapat banyak lori dan kenderaan berat di Hat Yai bagi tujuan itu.

Beliau berkata penyakit berkaitan dengan pascabanjir juga sedang menular dan ia menyebabkan pusat-pusat perubatan di Hat Yai amat sibuk dan keupayaan untuk menerima pesakit baru amat sedikit.

"Kebanyakan premis makan dan tempat tumpuan pelancong masih tutup," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Ahmad Fahmi berkongsi situasi semasa di Hat Yai itu selepas beliau menerima simbolik sumbangan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam.

Terdahulu, Raja Muda Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan meninjau beberapa kawasan dilanda banjir teruk itu di Hat Yai dengan diiringi Ahmad Fahmi.

Ahmad Fahmi berkata kerosakan harta awam akibat banjir di Hat Yai yang berlaku pada penghujung November lepas dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan