Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI, naik 1.15 peratus untuk ditutup kepada 1,665.90 hari ini, melonjak ke paras tertingginya dalam tempoh hampir 15 bulan dan melepasi paras 1,660.09 mata yang dicatatkan pada 27 September 2024.
Prestasi kukuh itu disokong oleh kekukuhan pasaran serantau di tengah-tengah kenaikan kadar faedah Bank of Japan (BOJ).
Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata langkah yang diambil BOJ itu telah mengurangkan jangkaan kadar diskaun dan menggalakkan pengambilan risiko di pasaran Asia.
Beliau berkata dasar monetari berbeza merentasi pasaran maju membantu mengurangkan kebimbangan terhadap kecairan dalam pasaran pembiayaan global, sekali gus meningkatkan permintaan untuk pendedahan pasaran sedang pesat membangun.
"Dasar-dasar berbeza mengurangkan kebimbangan terhadap langkah mengetatkan dasar secara serentak, sementara perbezaan hasil meningkat di rantau terpilih, meningkatkan daya tarikan berkaitan pasaran ekuiti,” katanya.
Mohd Sedek berkata hasil bon kerajaan Jepun yang lebih tinggi boleh mendorong pelabur Jepun untuk mengimbangi semula portfolio bon global mereka, sekali gus menyokong aliran ekuiti serantau secara tidak langsung.
Menurut laporan, BOJ pada Jumaat menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 0.75 peratus, paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad, dan menandakan akan berlaku kenaikan selanjutnya.
Susulan langkah itu, yen merosot ke julat lebih rendah 156 berbanding dolar AS, manakala hasil bon kerajaan Jepun 10 tahun meningkat kepada 2.02 peratus, paras tertinggi sejak Ogos 1999.
Pada 5.55 petang, ringgit berada pada paras 2.5934/5964 berbanding yen Jepun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial